PEMAIN sayap negara, Safawi Rasid yang kini bersama kelab Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC semakin menjadi kegemaran penyokong selepas sering mendapat tempat dalam kesebelasan utama The Dragons.
Semenjak menyertai Ratchaburi pada Januari musim ini secara pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT), Safawi tampil dalam lima perlawanan bagi saingan Liga Thailand dan satu penampilan dalam saingan Piala Thailand.
Penghijrahan pemain berusia 26 tahun itu ke negara jiran adalah bertujuan untuk mengumpul sebanyak mungkin minit permainan selepas hanya banyak menghabiskan masa di bangku simpanan bersama skuad Harimau Selatan.
Safawi berharap agar sentuhannya di atas padang dapat diteruskan dengan kelab yang betul-betul menggunakan khidmatnya dan kepakarannya selepas sekembalinya dari Thailand.
Pelbagai pasukan akan cuba mendapatkan Safawi dan antara kelab Liga Super yang dikaitkan dengan Safawi adalah Kedah Darul Aman (KDA) FC susulan satu hantaran di Insta Story miliknya baru-baru ini.
Tangkap layar Safawi bersama adiknya Alfi.
Dalam hantaran tersebut, bekas pemain Terengganu FC itu memuat naik panggilan video bersama adiknya, Alfi Rasid beserta kapsyen 'Jumpa tidak lama lagi. Teruskan perjuangan'.
Pemain kebangsaan itu seperti memberi petunjuk akan berhijrah ke bumi Darul Aman berikutan Alfi kini bersama skuad Liga Simpanan Bawah 23 tahun KDA FC.
Alfi yang juga bermain sama posisi seperti abangnya di bahagian sayap sebelum ini merupakan pemain daripada pasukan liga amatur Terengganu FC, Dspex FC dan berhijrah ke JDT III pada 2020.
Kejayaan Alfi bersama skuad Harimau Selatan apabila dia berhasil membantu JDT III menjuarai Piala Presiden 2022 dan kini bersama KDA FC, dia mulai perlahan-lahan membina pentas kejayaan buat dirinya.
Bagaimanapun, hantaran tersebut tidak dapat mengesahkan sama ada Safawi benar-benar akan berhijrah ke pasukan Sang Kenari namun jika benar ia boleh memberi manfaat buat dirinya yang ingin mendapatkan minit permainan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram