KETUA jurulatih skuad bola sepak bawah 23 tahun (B-23) negara, E. Elavarasan, meletakkan sasaran layak ke final pada temasya Sukan SEA 2023 Kemboja bermula 5 hingga 17 Mei ini.
Katanya, beliau mahu memperbaiki kedudukan keempat pada Sukan SEA Hanoi yang diraih skuad muda negara, tahun lalu, selepas tunduk kepada Indonesia menerusi penentuan sepakan penaliti dalam perebutan pingat gangsa.
"Kini dengan pasukan kejurulatihan baharu, kita nak pencapaian yang lebih baik. Bagi kami, layak ke final adalah sangat penting. Kita harus ada sasaran tertentu, justeru pemain dan jurulatih sangat bermotivasi untuk mencapainya,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor, pada Isnin.
Sejak meraih pingat emas pada edisi 2011 di Indonesia, skuad negara hanya sekali pernah mara ke final, iaitu ketika menjadi tuan rumah pada 2017.
Malaysia yang menamatkan saingan di tempat keempat pada 2013 di Myanmar dan 2021 di Hanoi, tersingkir seawal peringkat kumpulan pada edisi 2015 Singapura dan 2019 Filipina.
Tiga khidmat pemain bintang ditagih untuk mewakili Malaysia ke Sukan SEA Kemboja 2023. — HarimauMalaya
Sementara itu, Elavarasan harapkan kerjasama pihak kelab Liga Super untuk mengumpulkan barisan pemain terbaik dalam merealisasikan sasaran itu.
Beliau yang telah menguji sejumlah 47 pemain secara keseluruhan, berharap untuk mencapai persetujuan dengan pihak kelab melepaskan pemain masing-masing kerana ada kelab dilaporkan tidak mahu melepaskan pemain mereka di luar jendela FIFA.
"Kalau boleh kita nak dapatkan pemain terbaik, kerana ia dapat meningkatkan keyakinan pasukan untuk dapatkan mentaliti menang. Tetapi pemain mempunyai obligasi kontrak dengan kelab.
"Ia juga terpulang kepada siapa yang kita akan panggil, tapi kalau mereka (kelab) tidak lepaskan pemain (bintang), kami ada kumpulan pemain yang besar dan sebab itu kami buat persiapan awal sekarang termasuk menguji pemain baharu.
"Sudah pasti kualiti pemain yang beraksi di Liga Super berbeza. Pemain bintang seperti Arif Aiman (Johor Darul Takzim), Mukhairi Ajmal (Selangor FC), ia bergantung kepada pengurusan kelab.
Selain Arif Aiman, Mukhairi juga antara pemain dalam radar Elavarasan. — Selangor FC
Barisan kejurulatihan B-23 baru sahaja selesai menguji 25 pemain pada fasa kedua kem latihan pusat dari 14 hingga Februari, di mana hanya tiga pemain daripada fasa pertama pada November lalu, dipanggil kali ini.
Beliau berkata pihaknya juga sentiasa memantau pemain yang sedang beraksi di luar negara seperti Luqman Hakim Shamsudin yang kini bersama Njardvik FC di Iceland, yang dijangka menyertai fasa latihan seterusnya dalam tempoh jendela FIFA.
"Luqman Hakim pun kita sedang lihat, pada masa ini dia bermain di Iceland. Mungkin kalau ada ruang dia boleh sertai kami," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram