SELAIN Terengganu FC (TFC) dan Sabah FC, Selangor FC turut memperkenalkan jersi baharu musim 2023 mereka pada Jumaat.
Jersi yang diperkenalkan adalah jersi tempat lawan (away) manakala jersi home yang mengambil inspirasi dari Stadium Shah Alam sebagai tema, sudah diperkenalkan sebelum ini.
Jersi away itu diperkenalkan menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Selangor FC.
Video berdurasi 1 minit 54 saat itu menunjukkan close-up jersi tersebut yang digayakan oleh beberapa pemain Selangor FC antaranya Fazly Mazlan, Mukhairi Ajmal, Quentin Cheng dan Khairulazhan Khalid.
Rakaman tersebut seolah-olah mengandungi mesej tersembunyi untuk dirungkai sendiri oleh para penyokong Selangor FC.
Bagi penyokong kelab lain, ada yang berpendapat Selangor FC melaungkan cabaran untuk menyaingi juara bertahan Liga Super bagi sembilan tahun berturut-turut iaitu Johor Darul Takzim (JDT).
Ayron Del Valle melaungkan cabaran untuk menjadi penjaring terbanyak musim ini. — Facebook
Menerusi salah satu babak dalam rakaman tersebut, pemain import Selangor, Ayron Del Valle duduk di atas sebuah kerusi kayu antik yang seakan-akan memberi bayangan dia bakal merampas takhta penjaring terbanyak daripada peledak berbisa JDT, Bergson da Silva.
Namun bagi penyokong Selangor, jersi itu sendiri sebenarnya dilihat sama rekaannya seperti keluaran edisi khas Raja Muda Selangor (RMS) yang dikeluarkan pada Disember 2018.
Jersi khas itu juga menggunakan warna hijau iaitu warna rasmi dan warna kegemaran RMS yang menjadi pilihan sebagai simbol aura kedaulatan dan kegemilangan Selangor.
Jersi edisi khas RMS tahun 2018. — Facebook
Seperti jersi edisi 2018 itu, jersi baharu itu juga menggunakan jalur kuning dan merah pada bahagian kolar leher serta lengan.
Warna hijau gelap itu pula diambil daripada warna bendera RMS yang menjadi lambang bahawa pasukan Selangor sentiasa mendukung kedaulatan raja serta negeri sebagai satu elemen penting yang perlu dipelihara.
Ia sekali gus memberi bayangan Selangor FC mahu mengembalikan era kegemilangan pasukan The Red Giants sebagai King of Malaya yang pernah menjulang kejuaraan Piala Malaysia sebanyak 33 kali.
Ifedayo dikaitkan akan kembali ke Selangor FC.
Pada masa sama, Selangor FC juga akan memperkenalkan barisan pemain skuad utama pada Sabtu. Kelab elit itu dijangka membuat kejutan yang mungkin ada kaitan dengan pemain import kelahiran Nigeria, Ifedayo Olusegun.
Ini kerana terdapat khabar angin mengatakan bekas peledak Melaka United FC itu (MUFC) akan melengkapkan skuad Gergasi Merah dalam tempoh terdekat.
Bahkan, jersi nombor 9 di Selangor FC masih kosong dan dijangka menjadi milik bekas penjaring terbanyak Liga Super 2020 dan 2021 itu.
Untuk rekod, sepanjang bersama Selangor FC dari 2019 hingga 2021, dia berjaya meledak 50 gol dalam 43 perlawanan bersama gergasi Lembah Klang itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram