Bakal perkuat skuad HM di Piala Asia, 4 pemain import prospek naturalisasi negara


  • Podium
  • Khamis, 19 Jan 2023

Guilherme de Paula merupakan antara pemain naturalisasi negara yang membantu skuad Harimau Malaya ketika aksi kelayakan Piala Asia 2023. — FAM

SKUAD Harimau Malaya kini dibarisi beberapa pemain naturalisasi yang diberikan kerakyatan bagi membantu memperkuatkan lagi barisan pemain pasukan negara.

Perkara itu dilihat sedikit sebanyak mampu menaikkan lagi mutu persembahan skuad negara terutamanya dalam perlawanan yang lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.

Malaysia kini sudah memiliki beberapa pemain naturalisasi antaranya, Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi, Mohamadou Sumareh dan terbaharu Lee Tuck dan Sergio Aguero baharu sahaja didaftarkan sebagai pemain tempatan dan telah memulakan debut pertamanya di Piala AFF baru-baru ini.

Selesai Piala AFF, fokus skuad negara kini tertumpu sepenuhnya kepada Piala Asia 2023 selepas Malaysia berjaya mengesahkan tempat dalam kejohanan tersebut menerusi kemenangan yang dilakar ke atas Bangladesh dalam aksi terakhir Kumpulan E di Stadium Bukit Jalil tahun lalu.

Dalam pada itu, beberapa lagi pemain import turut hangat diperkatakan dan kian menjadi sebutan penyokong yang mahukan lebih ramai muka baharu diberikan taraf kerakyatan.

aaaai

Argzim Redzovic

Pemain pertahanan tengah Terengganu FC ini dilihat antara prospek utama skuad HM ketika ini dengan pengalaman serta tempoh syarat lima tahun bermain di liga tempatan telah dipenuhi pemain tersebut.

Untuk rekod, Argzim sudah cukup tempoh selama lima tahun beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) untuk menjadi pemain naturalisasi bermula dengan menyarung jersi pasukan PDRM pada tahun 2018 dan 2019 sebelum berhijrah ke pasukan TFC II sehingga musim lalu.

Ditambah pula dengan perkahwinannya bersama gadis tempatan, ia sekali gus menguatkan lagi keinginan serta harapan peminat untuk menyaksikan pemain berketinggian 1.90 meter itu beraksi bersama skuad negara.

Berdasarkan beberapa laporan media, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh difahamkan sudah membuat permohonan berhubung kerakyatan pemain itu dan kini sedang menunggu 'lampu hijau' daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

morales

Romel Morales dan Paulo Josue

Kedua-dua pemain ini memainkan peranan penting dalam pasukan KL City selepas berjaya membantu pasukan itu menjuarai Piala Malaysia pada tahun lepas.

Selain itu, mereka turut membantu skuad warga kota mencipta sejarah mara ke Final Antara Zon Piala AFC pada musim ini.

Josue yang berusia 33 tahun telah beraksi dalam Liga Malaysia sejak tahun 2017 dan sepanjang bersama KL City, beliau telah membuat 81 penampilan dengan 29 gol berjaya dijaringkan.

Manakala Morales yang berusia 25 tahun pula telah beraksi dalam Liga Malaysia sejak tahun 2018 dan pernah bermain untuk PKNS FC selama dua musim sebelum mewakili Melaka dan seterusnya menyertai KL City pada 2021.

Setiausaha Agung Kuala Lumpur FA (KLFA) Nokman Mustaffa dilaporkan sudah mula menghantar permohonan kewarganegaraan kedua pemain itu dan mereka berpeluang menyarung jersi skuad kebangsaan pada Piala Asia nanti sekiranya segala proses naturalisasi selesai sepenuhnya.

endricl

Endrick do Santos

Pemain berusia 27 tahun kelahiran Brazil itu mula diperkenalkan ke Liga M menerusi penampilannya di Felcra FC dan menyertai Selangor FC semusim kemudian.

Mula beraksi bersama Penang FC sejak 2020, Endrick membantu pasukan itu menaiki takhta ke Liga Super setelah menjuarai Liga Premier sebelum dilantik sebagai kapten yang sekali gus membawa Penang menduduki tangga ketiga di Liga Super 2021.

Terbaharu pemain yang beraksi di posisi sayap kiri itu bakal beraksi bersama pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada musim depan.

JDT dikhabarkan akan mendaftarkan Endrick sebagai pemain naturalisasi pasukan Harimau Selatan pada musim depan susulan usia pemain itu yang dikatakan masih muda dan boleh menabur bakti dalam jangka masa yang lama dalam pasukan itu nanti.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim Ismail baru-baru ini memuat naik status yang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

TMJ

"Calendar done!, Next HM #whatcanyoudo," tulisnya dengan memuat naik semula entri dari laman IG Wisdom_Up.

Gambar itu dengan kapsyen berbunyi, "Stay in the shadows until it's time."

Timbul spekulasi yang membuat andaian mungkin TMJ mahu mengambil alih semula Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ada juga yang berpendapat mungkin ia ada kaitan dengan status naturalisasi Endrick Dos Santos untuk membolehkannya beraksi dengan Harimau Malaya.

Namun segalanya masih belum terjawab dan semua spekulasi peminat akan terjawab menjelang perlawanan Liga Super 2023 yang bakal membuka tirai pada Februari nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram