SETIAP daripada pemain import yang pernah berkelana di Malaysia pasti meninggalkan pelbagai memori buat penyokong terutamanya jika tonggak berkenaan memberi impak positif buat mereka.
Malah, tidak kurang juga ada penyokong yang masih mencari-cari perkembangan bekas tonggak import mereka meskipun tidak bermain dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Seperti bekas penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Jonathan Bauman yang kembali menjadi buah mulut penyokong Sang Kenari selepas perpindahannya ke kelab ternama di Amerika Selatan.
Bauman hanya beraksi selama semusim bersama skuad Sang Kenari. — Instagram/Bauman
Tonggak import yang pernah menyertai Kedah pada 2019 itu difahamkan baru sahaja menyertai kelab berpangkalan di Ecuador, Barcelona Sporting Club (SC).
Barcelona SC ialah pasukan bola sepak paling berjaya di Ecuador dengan rekod memenangi kejuaraan Serie A sebanyak 16 kali dan terbaharu pada 2020.
Dalam perkongsiannya di laman Instagram miliknya, Bauman juga dilihat beraksi bersama pemain Argentina, Sergio Aguero dalam perlawanan persahabatan Barcelona SC menentang Mushuc Runa.
Bekas pemain legenda Manchester City itu sebelum ini mengambil keputusan untuk bersara kerana masalah jantung namun terbaharu dia kembali beraksi dengan menyertai Barcelona SC.
Gabungan Bauman dan Aguero dijangka akan menambah sengat pada bahagian serangan dan sekali gus dapat membantu Barcelona SC menjulang kembali piala Serie A liga saingan Ecuador.
Bauman dan Aguero selepas perlawanan persahabatan Barcelona SC. — Instagram/Bauman
Kecemerlangan Bauman itu mendapat sokongan daripada penyokong Kedah yang berharap agar pemain kelahiran Argentina itu akan mendapat tempat dalam kelab berkenaan.
"Aura bekas pemain Kedah kita bukan biasa-biasa geng. Rindu awak (Bauman)," tulis penyokong, Kamarul Azmi.
Untuk rekod, pemain yang pernah beraksi di Liga Indonesia ini membawa Kedah memenangi Piala FA dan menjadi naib juara Piala Malaysia musim ini.
Selepas meninggalkan Liga M, pemain berusia 31 tahun itu pernah menabur bakti di negara kelahirannya dengan menyertai kelab Quilmes pada 2020. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram