Liridon dedah sebab disingkirkan HM, perit harungi 'bad days'


  • Podium
  • Jumaat, 17 Feb 2023

Liridon sah menyarungkan jersi Terengganu FC musim ini. — Facebook/TFC

LIGA Malaysia (Liga M) musim 2023 dihangatkan dengan penyertaan semula bintang naturalisasi, Liridon Krasniqi dari Liga Thailand.

Pemain pinjaman dari kelab Johor Darul Takzim (JDT) itu kini beraksi bersama Terengganu FC dengan kontrak selama satu tahun.

Di sebalik jersi Terengganu FC yang disarungkannya musim ini, Liridon juga bercita-cita untuk kembali mengenakan jersi Harimau Malaya.

Dia yang pernah menyuarakan rasa terkilan kerana tidak terpilih ketika kelayakan Piala Asia 2023, turut mendedahkan ada sebab mengapa dia bersedih dengan berita itu.

Pemain tengah berusia 31 tahun yang mesra disapa Mat Don berkata, dia mengalami sedikit kecederaan semasa kem sekali gus tidak dapat mempamerkan prestasi sebenar.

A790089E-2740-4290-A848-8B7A42100F9C

Liridon terkilan kerana tidak terpilih ketika kelayakan Piala Asia 2023. — Facebook

"Saya sedih ketika itu kerana tidak dipanggil ke skuad kebangsaan tapi ada sebab di sebaliknya. Saya mengalami kecederaan dan tidak dapat memberikan prestasi 100 peratus atas padang.

"Selepas berkomunikasi dengan kakitangan skuad kebangsaan kami membuat keputusan untuk pulih dahulu, jadi saya meninggalkan Malaysia. Memang sedih sebab mahu menjadi sebahagian daripada Harimau Malaya," katanya.

Liridon berkata, dia tidak pernah kongsikan perkara itu dengan mana-mana media selepas itu.

"Ini interviu pertama sejak saya meninggalkan Malaysia. Saya memang tidak bercakap dengan mana-mana media...kerana ketika (bad days), pada hari-hari yang saya rasa kurang baik, keadaan tidak berjalan seperti perancangan saya.

321802937_527319786208894_2154633864266990080_n

Liridon melakukan debut dengan Terengganu FC ketika aksi pramusim kelab itu Bangkok, Thailand baru-baru ini. — Facebook

"Ada masa saya rasa kurang berpuas hati dan tidak bersetuju dengan sesetengah perkara, jadi waktu itu saya ambil keputusan untuk berdiam diri dan tidak bercakap dengan sesiapa kecuali jika kelab meminta saya membuka mulut," katanya dalam rakaman temu bual bersama HarimauMalaya.

Sementara itu, Liridon mengakui keinginannya untuk menyarung jersi Harimau Malaya masih belum pudar malah dia akan melakukan yang terbaik untuk memikat ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon.

"Jika ada peluang untuk dipanggil, jadi saya akan cuba yang terbaik sebab saya rasa masih sebahagian daripada Harimau Malaya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram