PEMAIN naturalisasi negara, Liridon Krasniqi secara rasminya bersama pasukan Terengganu FC bagi musim 2023 selepas menandatangani kontrak sebagai pemain pinjaman dari kelab Johor Darul Takzim dengan kontrak satu tahun.
Liridon Krasniqi, sebelum ini beraksi dengan skuad Khon Kaen United FC pada musim 2022 secara pinjaman akan mengisi slot sebagai pemain tempatan untuk pasukan Terengganu FC pada musim ini.
Menurut laman web TFC, Liridon menyatakan bakal memberi komitmen yang penuh bersama pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner untuk memastikan dia dapat membantu pasukan memburu kejuaraan di saingan Liga Malaysia dan Piala AFC.
Liridon yang bakal memakai jersi bernombor 80 bakal memberikan lebih pilihan di bahagian tengah pasukan ini.
Pemain yang berasal dari Kosovo itu juga ingin memastikan kehadiran beliau berbaloi dan dapat memikat hati para penyokong Terengganu FC. Liridon dijangka bakal berada dalam skuad Terengganu FC dalam perlawanan persahabatan menentang Odense Blodklub FC pada Ahad.
Sementara itu, Liridon di Instagram Story mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan dan pemain Terengganu FC kerana mengalu-alukan penyertaannya ke kelab tersebut.
"Saya amat berbesar hati dapat menyertai kelab besar ini. Tidak banyak yang saya ingin katakan. Let's make legacy fellas (Mari jadikan ini suatu legasi).
"Mat Don is back home, ALLAH is the greatest (Mat Don kembali, ALLAH Maha Besar)," kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram