'... Siuuu' ucapan CR7, Liridon terima tonik sebelum aksi bersama TFC


  • Podium
  • Rabu, 15 Feb 2023

Liridon juga sebelum ini menjadi pemain pinjaman JDT ke skuad Khon Kaen United FC pada musim lepas. — Facebook/TFC

KEMASUKAN pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi ke Terengganu FC (TFC) bagi musim 2023 menerima pelbagai maklum balas daripada penyokong skuad Penyu, ada yang menerima dengan baik dan selebihnya memberi respons kurang memberangsangkan.

Pada Ahad lalu, pemain berusia 31 tahun itu secara rasminya menandatangani kontrak sebagai pemain pinjaman TFC dari kelab Johor Darul Takzim (JDT) dengan kontrak satu tahun.

Perpindahan Liridon ke kelab berpangkalan di Pantai Timur itu bagaimanapun kurang direstui penyokong terutamanya selepas aksi hambar yang dipamerkan olehnya dalam perlawanan persahabatan menentang Chonburi FC.

Mengendahkan semua tomahan tersebut, pemain yang berasal dari Kosovo itu nampaknya semakin bersemangat untuk beraksi bersama skuad di bawah bimbingan Tomislav Steinbruckner selepas mendapat tonik baharu.

Menerusi perkongsian di laman Insta Story miliknya, Liridon memuat naik semula hantaran bintang dunia, Cristiano Ronaldo yang memberinya kata-kata semangat untuk beraksi bersama skuad Penyu.

WhatsApp Image 2023-02-15 at 19.51.00 (1)

Tangkap layar hantaran semula dari Liridon itu.

"All the best my bro, siuuu,” tulis bekas penyerang Manchester United itu sambil memaparkan gambar Liridon yang menyarung jersi Terengganu.

Namun begitu, selepas menjengah kembali di laman Instagram Ronaldo, hantaran tersebut sudah tiada dan ia menambah kekeliruan dalam kalangan penyokong sama ada ia adalah sahih ataupun hanyalah gurauan Liridon sahaja.

Apa-pun kebenaran mengenai hantaran berkenaan, secara hakikatnya ucapan khas dari pemain kebangsaan Portugal tersebut diharap akan membantu menaikkan lagi semangat bekas tonggak Kedah itu untuk beraksi dalam Liga Malaysia.

Liridon yang beraksi sebagai arkitek permainan dijangka memberi varisi dalam jentera tengah pasukan Terengganu pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram



Lebih Pilihan