Graduan EPL kena berterima kasih kat Syamer Kutty, dapat tembus '1st Eleven' JDT


  • Podium
  • Jumaat, 17 Feb 2023

Hong Wan membuat lima penampilan dalam kesebelasan utama JDT sepanjang lima perlawanan persahabatan kelab itu di Dubai baru-baru ini. — Facebook

DEBARAN Liga Super 2023 yang bakal membuka tirai pada 24 Februari ini menerusi aksi Piala Sumbangsih antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC pastinya ditunggu-tunggu peminat bola sepak tanah air.

Bagi penyokong kelab Harimau Selatan, aksi tonggak tengah, Syamer Kutty Abba tentunya dinanti selepas pemain itu berehat lebih enam berikutan kecederaan lutut yang dialami.

Dalam tempoh itu, posisi Syamer banyak diisi oleh Nathaniel Shio Hong Wan dengan 28 penampilan di Liga Super dan kejohanan Liga Malaysia serta Liga Juara-Juara Asia (ACL) sepanjang musim lalu.

Hong Wan patut berterima kasih kepada Syamer kerana ketiadaan pemain itu bukan sahaja membolehkannya mendapat lebih banyak minit permainan malah membuka peluang untuk menembusi kesebelasan utama JDT.

Malah pemain kacukan Malaysia-China yang pernah beraksi bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Wolverhampton Wanderers itu nampaknya sudah berjaya memikat ketua jurulatih JDT, Esteban Solari.

329915892_1307821833120703_379598900889010744_n

Syamer sudah pulih daripada kecederaan lutut yang dialami musim lalu. — Facebook

Pemain berusia 22 tahun tersebut membuat lima penampilan dalam kesebelasan utama JDT sepanjang lima perlawanan persahabatan ketika jelajah pramusim kelab itu di Dubai, Emiriah Arab Bersatu baru-baru ini.

JDT sebelum ini mengharungi lima perlawanan menentang juara Liga Rusia, Zenit St Petersburg selain FC Rostov, Fursan Hispania, Lokomotiv Moscow dan kelab Bulgaria, Levski Sofia.

Dengan rekod yang baik itu, tidak mustahil Hong Wan akan terus diberi kepercayaan untuk membarisi kesebelasan utama JDT musim ini di samping Arif Aiman dan Jordi Amat yang turut membuat lima penampilan sepanjang aksi pramusim JDT.

Mungkin penyokong boleh menjangkakan kesebelasan utama JDT berdasarkan nama-nama pemain yang akan diturunkan dalam aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim nanti.

Untuk rekod, JDT pernah menjulang Piala Sumbangsih sebanyak tujuh kali dan memegang status juara bertahan lima tahun berturut-turut sejak 2018.

Bagi aksi kali ini, skuad Harimau Selatan turut menjadi pasukan pilihan untuk menjulang trofi berkenaan yang turut dikenali sebagai Piala Sultan Ahmad Shah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram