MENJELANG lagi beberapa hari sebelum Liga Super bermula iaitu pada 24 Februari ini, pastinya semua pasukan sedang membuat persiapan sama ada dari segi menambah mutu kualiti pemain sehingga ke infrastruktur.
Sekiranya ada perkara buruk menimpa menjelang perlawanan bermula, ia pastinya menjadi satu beban buat sesebuah pasukan dan perlu diselesaikan dengan segera.
Seperti insiden yang menimpa Perak FC (PFC) apabila kabel lampu di rumah keramat skuad The Bos Gaurus (TBG), Stadium Perak, Ipoh dilaporkan hilang dan berkemungkinan dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh laman penyokong rasmi Perak FC, Seladang Fan Club yang memuat naik beberapa gambar keadaan kabel lampu tersebut.
"Naye kome.. cable lampu stadium lebohh (hilang).. kami balik kroje (kerja) pukul 6 petang.. tak sior (tak sanggup) tengok game petang petang chor..
"Semoga Tuan CEO, TBG Super Fan dipermudahkan urusan dan harapan penyokong Perak," kongsi laman tersebut.
Luluh hati para penyokong The Bos Gaurus sewaktu melihat hantaran tersebut dan mereka berharap agar individu tersebut cepat ditangkap dan dikenakan tindakan.
Tidak kurang juga segelintir penyokong berasakan ia berkemungkinan adalah sabotaj daripada pihak yang cemburu dengan Perak FC.
Dalam satu hantaran berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perak FC, Bobie Farid Shamsudin menerusi akaun Facebooknya yang menggunakan nama TBG Fan menegaskan akan membuat siasatan menyeluruh berkenaan isu tersebut.
Tambahnya, perbuatan khianat tersebut sangat meragukan dan ia seperti bertujuan untuk menghalang daripada penyokong Perak FC datang ke stadium memberikan sokongan.
Tangkap layar hantaran dari TBG Fan.
"Untuk perlawanan pertama kami di Ipoh banyak program yang telah dirancang sebulan yang lalu. Kejadian yang menimpa ini sangat meragukan kerana saya rasa inilah kali pertama kejadian seumpama ini berlaku.
"Ianya menjadi persoalan kenapa ianya terjadi adakah bertujuan untuk mengagalkan kehadiran peminat PFC dengan pekara ini ?
"Sudah tentu pihak PFC amat memerlukan kehadiran yang ramai pada 25/2 ini lalu meyakinkan kami untuk menjadikan sukan bolasepak ini sukan yang mampan ekonomi. Perbuatan khianat ini ataupun katanya kecurian kabel sangat sangat meragukan kerana banyak faktor," kongsinya.
Bukan itu sahaja, susulan kejadian tersebut, Bobie Farid juga mendakwa seperti ada pihak yang tidak suka apabila pihaknya, One XOX Sdn Bhd mulai mengambil alih Perak FC.
"Banyak halangan yang kami hadapi selama mengambil alih kelab ini. Kenapa ianya berlaku kami sendiri pun masih gagal faham. Nampak macam kehadiran kami tidak disukai oleh beberapa pihak jika ianya benar..
"Sudah tentu kami akan membuat siasatan keseluruhan untuk memastikan kejadian seperti ini tidak menganggu perjalanan kelab.
"Kami cuba untuk dapatkan kontraktor yang boleh membaik pulih keadaan ini namun jika gagal, kerugian yang bakal dihadapi oleh kelab amat tinggi. Cabaran demi cabaran. Kita fight satu satu demi Bola Sepak Negeri Perak," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram