Selepas kehilangan Woodland, kini masanya Terengganu sambar bekas kapten Selangor


  • Podium
  • Jumaat, 17 Feb 2023

Woodland sah meninggalkan Terengganu FC selepas satu musim yang bergolak di Pantai Timur. — Agensi

PRESTASI tidak memberangsangkan dan kerap melakukan kesilapan merupakan antara punca pemain kebangsaan Filipina, Luke Woodland diturunkan ke skuad simpanan Terengganu FC pada 2022.

Bagaimanapun, keputusan itu dilihat masih gagal untuk mencetuskan perubahan dalam kariernya apabila dia kerap disisihkan dalam aksi Liga Perdana.

Ia dapat dilihat apabila ketua jurulatih Terengganu FC II, Badrul Afzan hanya menurunkannya dalam 12 perlawanan untuk memberi laluan buat pemain yang lebih konsisten.

Tetapi, dengan rombakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyaksikan divisyen kedua bola sepak tempatan dibubarkan, masa depan Woodland sudah mula dipersoalkan sejak pembukaan jendela perpindahan.

Ini termasuk beberapa laporan yang mengatakan bek tengah berusia 27 tahun itu bakal dipinjamkan ke pasukan lain demi membantunya mendapatkan minit permainan.

Namun, dengan tiada pasukan berminat untuk mendapatkan khidmatnya, pihak pengurusan bertindak menamatkan kontraknya pada pertengahan Februari lalu.

Hal itu sekali gus membolehkan skuad Sang Penyu mendapatkan seorang lagi pemain import sekiranya mereka berminat untuk melengkapkan slot terakhir itu.

Persoalannya, dengan jendela perpindahan semakin hampir ditutup 24 Februari ini, adakah Terengganu FC akan melakukan perbelanjaan pada minit-minit akhir?

Selain itu, kekurangan calon yang merupakan seorang pertahanan tengah berasal dari negara Asia Tenggara turut merumitkan keadaan pihak pengurusan dan kejurulatihan.

Tetapi, bagi seorang penyokong bola sepak tempatan menerusi akaun Instagram @palatao_bola, dia berasakan bekas kapten Selangor FC, Safuwan Baharudin merupakan calon terbaik.

Safuwan Baharuddin trains with Selangor during pre-season. - Photo by Selangor Football Club.

Adakah Safuwan akan menyertai skuad Sang Penyu sebelum jendela perpindahan ditutup? — Facebook/Selangor FC

Setelah disisihkan berikutan kecederaan kepala yang dialami, pemain kebangsaan Singapura itu memutuskan untuk meninggalkan skuad Gergasi Merah.

Berdasarkan laporan di dada akhbar ketika ini, Safuwan masih tidak terikat dengan mana-mana pasukan Liga Malaysia meskipun pernah diturunkan ketika aksi pramusim bersama Negeri Sembilan FC.

Oleh itu, dengan skuad Sang Penyu masih berkemampuan untuk membawa masuk seorang pemain Asia Tenggara, pemain berusia 31 tahun itu adalah antara pilihan yang perlu diberikan perhatian.

Musim lepas, Safuwan hanya diturunkan sebanyak lima kali sebelum terpaksa direhatkan selepas pemeriksaan lanjut mendapati dia masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami pada 2021.

Namun, sebelum berdepan cabaran serius dalam kariernya, pemain berketinggian 1.81m itu pernah dianggap sebagai antara pertahanan terbaik Asia Tenggara.

Pencapaian tersebut dikatakan berpunca daripada sumbangannya bersama skuad kebangsaan Singapura, yang mana dia mengumpul sebanyak 106 penampilan sejak 2010. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram