Ranking JDT lebih 'power' berbanding bekas juara EPL, ramai tertanya-tanya kedudukan 3 lagi kelab Liga M


  • Podium
  • Jumaat, 17 Feb 2023

JDT yang baru sahaja menghabiskan sesi jelajah pramusim di Dubai sudah semakin bersedia untuk mengekalkan kejuaraan mereka pada musim ini. — Facebok/JDT

JUARA bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) semakin menunjukkan kelas mereka tersendiri apabila dilaporkan berada pada tangga ke-573 dalam kalangan hampir 13,500 ranking kelab bola sepak seluruh dunia.

Kedudukan ranking kelab bola sepak itu dibuat oleh laman analisis bola sepak Opta Analyst yang mana juga menyatakan rating skuad Harimau Selatan sebanyak 71.80 mata.

Lebih mengagumkan apabila kedudukan kelab berpangkalan di Selatan tanah air itu lebih tinggi berbanding juara Liga Perdana Inggeris tahun 1995, Blackburn Rovers yang berada pada tangga ke-574 dan juga kelab liga Sepanyol, Real Zaragoza di 576.

Selain JDT, kelab Asia Tenggara lain seperti pasukan Thailand, Buriram United juga berada dalam senarai itu yang mana mereka menduduki tangga ke-500 dengan 72.6 mata.

Sementara itu, di kedudukan pertama menyaksikan kelab gergasi Jerman, Bayern Munich dengan 100.00 mata diikuti oleh Manchester City, Barcelona dan Napoli masing-masing dengan 100, 97.85 dan 95.04 mata.

Dengan memenangi Liga Super sebanyak sembilan kali dan berjaya menembusi Liga Juara-Juara Asia (ACL), skuad Harimau Selatan pasti menjadi contoh terbaik untuk pasukan Liga Malaysia (Liga M).

WhatsApp Image 2023-02-17 at 16.14.18

Skuad TFC antara pesaing terdekat JDT bagi saingan Liga Super. — Facebok/TFC

Menjengah di ruangan komen di media sosial, ramai penyokong bola sepak tanah air gembira dengan kejayaan tersebut namun tidak kurang juga ada yang tertanya-tanya kedudukan tiga lagi kelab gergasi Liga M iaitu Terengganu FC (TFC), Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Selangor FC.

"Selangor dan Kedah di tangga ke berapa agaknya," kata penyokong, Mohd Faris Hj Kahar.

"Terengganu tempat ke berapa?," komen seorang lagi penyokong, Eddy Ozil.

Berdasarkan dari laman sesawang Opta Analyst, TFC, Selangor FC dan skuad Hijau Kuning, masing-masing berada di tangga ke-1805, 2835 dan 3490.

Diharapkan dengan pendedahan dari Opta Analyst itu, lebih banyak pasukan Liga M mendapat motivasi dan seterusnya boleh mencabar kedudukan JDT sebagai juara bertahan Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram