'Hero tak boleh lama sakit', Daud Bakar doakan kesembuhan bintang dalam pembikinan Sang Kenari


  • Podium
  • Khamis, 16 Feb 2023

Fayadh mengalami kecederaan di hidung ketika perlawanan persahabatan semasa program pramusim KDA FC di Antalya, Turkiye pada Selasa. — Instagram Fayadh

KECEDERAAN yang dialami bintang dalam pembikinan skuad Sang Kenari, Fayadh Zulkifli mendatangkan kebimbangan kepada bukan sahaja barisan kejurulatihan malah para penyokong Hijau Kuning.

Kelab Kedah Darul Aman (KDA FC) memaklumkan kecederaan yang dialami Fayadh akibat terjahan kaki ke mukanya menyebabkan kecederaan di hidung dan memerlukan rawatan susulan di Alor Setar, Kedah.

Kecederaan tersebut dialami pemain sayap itu ketika beraksi dalam program pramusim KDA FC di Antalya, Turkiye pada Selasa.

Dia mengalami kecederaan apabila dikasari pemain FC Metalist Kharkiv yang mengangkat kaki tinggi hingga mencederakan kepalanya sekali gus memaksa pengadil memberi kad merah kepada pemain FC Metalist Kharkiv pada minit ke-42.

Skuad kendalian Nafuzi Zain melengkapkan aksi jelajah pramusim 2023 di Antalya dengan kekalahan 0-2 kepada kelab Liga Premier Ukraine itu Kharkiv dalam aksi di Ekodizayn pada Selasa.

Menurut KDA FC, walaupun keadaannya stabil, Fayadh akan membuat rawatan pemulihan segera bersama pakar perubatan pasukan bagi membolehkan pemain itu pulih sepenuhnya.

"Kami mendoakan Fayadh cepat pulih dan dapat membantu Sang Kenari menjelang aksi pembukaan Liga Super menentang Perak FC di Stadium Perak, Ipoh," kata kenyataan KDA FC di Facebook.

Sementara itu, di ruangan komen, pemilik Sang Kenari, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mencuri perhatian apabila turut menitipkan doa supaya Fayadh lekas sembuh.

"Yad, kami semua doakan kesembuhan segera. Hero tak boleh lama sakit dan berehat. Bina azam nak baik cepat dan masuk padang balik," tulisnya.

Komen Daud Bakar mendapat lebih 600 tanda suka daripada para penyokong KDA FC sejak ia dimuat naik pada Rabu, malam.

Malah rata-rata turut mengambil kesempatan mendoakan kesembuhan Fayadh.

WhatsApp Image 2023-02-16 at 14.18.53

Tangkap layar komen Daud Bakar di FB KDA FC. — Facebook

Seorang penyokong KDA FC, Amin Fadzli mewakilkan dirinya untuknya menyampaikan pesanan itu kepada Fayadh.

"Baik Tan Sri...saya akan segera bangkit . Saya jiran dia (Fayadh). Saya tolong habaq (sampaikan pesan)," tulisnya bergurau.

Bagi saingan Liga Super 2023, KDA FC akan memulakan aksi bertemu Perak FC pada 25 Februari 2023.

Selain itu, skuad Sang Kenari dan Penang FC, akan bertemu dalam pusingan pertama Piala FA 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram