Gandingan Kpah, Lucas tak cukup, fans Pahang desak cari pengganti Hidalgo


  • Podium
  • Selasa, 14 Feb 2023

Penyokong Sri Pahang FC meletakkan harapan buat Lucas yang beraksi dengan skuad Tok Gajah musim ini. — Facebook

JADUAL perlawanan persahabatan Liga Malaysia (Liga M) pada tahun ini dilihat cukup berbeza apabila beberapa pasukan memilih untuk mengadakan program pramusim di luar negara.

Antara yang memilih destinasi luar negara termasuklah kelab Johor Darul Takzim (JDT) di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Turkiye.

Manakala Selangor FC, Terengganu FC, Sabah FC, Sri Pahang FC dan Kelantan FC menjadikan Thailand sebagai destinasi pilihan.

Dalam kehangatan aksi pramusim itu, ada penyokong skuad Tok Gajah yang menyuarakan pendapat berhubung perlawanan persahabatan kelab itu.

Ini kerana Sri Pahang FC dilihat tidak menggunakan jendela perpindahan pemain dengan sebaik-baiknya sebelum tirai liga dibuka secara rasmi pada 24 Februari depan.

Bahkan tempat pemain sayap lincah, Manuel Hidalgo yang berhijrah ke KDA FC dikatakan tidak diisi dengan pemain yang setaraf kualiti dengannya.

328581777_6061903053872232_3449420101079235088_n

Kpah Sherman berhijrah ke Sri Pahang FC dari Terengganu FC. — Facebook

Laman penyokong Cerita2 Bola & Pahang menerusi satu hantaran di Facebook berharap seorang lagi pemain import dapat dibawa masuk segera sementara jendela perpindahan masih terbuka.

"Tolonglah tambah lagi seorang pemain import yang main di posisi penyerang, sayap atau tengah menyerang. Boleh backup Kpah Sherman atau Lucas Silva tu.

"Sementara tak tutup lagi jendela perpindahan ni, takut esok lusa kempunan gol walaupun tak bolos. Ke memang tahun ni sekadar nak seri saja.

"Daripada line up perlawanan menentang Kuching City FC semalam (Ahad) tengok dah okey. Separuh masa pertama sepatutnya dah boleh gol tapi masih kedudukan 0-0," katanya.

Selain berhubung isu pemain, admin Cerita2 Bola & Pahang juga membangkitkan isu siaran langsung perlawanan persahabatan itu yang tidak dapat ditonton oleh para penyokong.

"Bukan mempertikai, tapi kenapa pasukan lain boleh buat live friendly, live game pramusim. Tak kira di tempat sendiri atau tempat lawan.

328791132_692253975954201_2242445962202411547_n

Lucas bermain di posisi penyerang bersama Kpah. — Facebook

"Pasukan Sri Pahang seolah-olah nak berahsia sangat sedangkan game akan mula tak sampai dua minggu lagi...sedangkan time inilah kita boleh jana pendapatan tambahan untuk team dari segi tontontan live dan tiket," katanya.

Tambahnya, penyokong tidak mendapat maklumat berhubung perlawanan tersebut baik dari segi jumlah gol dan penjaring sepanjang pertandingan berlangsung.

"Hasil daripada game pramusim lawan Kuching City FC pada Ahad, keputusan penuh adalah 1-0, memihak kepada Sri Pahang. Namun demikian, tak tahu itu hasil gol daripada pemain mana... bahkan ada yang kata itu own goal.

"Melihat keputusan penuh game tu dan juga game latihan pramusim di Thailand lawan skuad Korea Selatan, suka untuk koi (saya) kata kan...," katanya.

Sementara itu, laman penyokong berkenaan juga berharap Sri Pahang FC aktifkan saluran YouTube atau TV SPFC sendiri untuk jana pendapatan lagi-lagi hak penyiaran mungkin susah untuk tengok atau dapat.

"(Saluran) berbayar pun tak apa. Sekurang-kurangnya ada inisiatif lain untuk penyokong tengok bola kerana tak semua boleh ke stadium dan ada Astro," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram