Dua kelab cemburui JDT, semuanya kerana KJ


  • Podium
  • Rabu, 15 Feb 2023

KJ secara rasmi dilantik sebagai Pengarah JDT dan Penasihat Belia Johor. — Instagram TMJ

SELEPAS berteka-teki mengenai statusnya bersama skuad Johor Darul Takzim (JDT), Khairy Jamaluddin akhirnya diumumkan sebagai Pengarah kelab bola sepak elit, skuad Harimau Selatan.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi satu hantaran berbeza di laman Facebook rasmi berkata, beliau percaya dengan lantikan Khairy sebagai pengarah bakal memberi nilai tambah kepada Johor.

“Saya telah bertemu Khairy dan bersetuju untuk melantik beliau sebagai Penasihat Belia Johor dan sebahagian Lembaga Pengarah JDT.

“Pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang di negara ini akan memberikan nilai tambah kepada pembangunan belia dan kemajuan bola sepak Johor,” katanya.

Pengumuman daripada kelab tersebut mendapat respons positif daripada penyokong skuad Harimau Selatan yang mana rata-ratanya tidak sabar untuk melihat pembaharuan bakal dibawa oleh bekas Menteri Belia dan Sukan tersebut.

Namun begitu, senario berbeza dialami oleh dua penyokong kelab Liga Super iaitu Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Negeri Sembilan FC (NSFC) yang berharap agar bekas Ahli Parlimen Rembau itu untuk turut terlibat dalam pengurusan pasukan mereka.

Bagi penyokong skuad Hijau Kuning, hasrat untuk melihat Khairy terlibat dalam hal ehwal pasukan Sang Kenari bermula apabila bekas Menteri Kesihatan itu mendedahkan bahawa beliau merupakan penyokong KDA FC.

kj 2

Sewaktu menjadi penyampai radio Hot FM pada Rabu, KJ mendedahkan sokongannya terhadap pasukan KDA FC.

"Tidak sempat dah nak lantik jadi CEO Kedah," komen penyokong Sang Kenari, amirul.

Harapan peminat skuad Jang juga luntur apabila mendengar pengumuman tersebut berikutan mereka juga berimpian untuk melihat Khairy dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSFC.

Khairy yang mesra dengan sapaan KJ itu mulai menambat hati penduduk Negeri Sembilan selepas menjadi Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal iaitu sewaktu 2008, 2013 dan 2018.

Justeru itu, penyokong skuad Jang percaya kredibiliti Khairy sebagai seorang pemimpin mampu diterapkan dalam industri bola sepak negeri tersebut.

Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2007 itu turut menzahirkan penghargaan kepada Tunku Ismail dan JDT atas kepercayaan melantik beliau menyertai sebahagian daripada keluarga JDT. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram