SEBAGAI persiapan terakhir sebelum tirai Liga Super 2022 dibuka, Perak FC memilih untuk mengadakan aksi persahabatan berdepan skuad Bawah 23 (B-23) mereka.
Perlawanan yang diadakan di Stadium Manjung, Perak itu menyaksikan anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim mencatatkan keputusan memberangsangkan apabila mereka menjaringkan lima gol.
Meskipun dibolosi sebanyak dua kali sebelum wisel penamat ditiup, penguasaan yang dipamerkan sepanjang 90 minit permainan sedikit sebanyak membuktikan kemampuan skuad utama.
Selain itu, perancangan yang direncanakan barisan kejurulatihan turut membuahkan hasil apabila penyerang baharu mereka, Hadi Fayyadh Abdul Razak menjaringkan gol pertamanya buat pasukan.
Selepas dikritik hebat oleh penyokong The Bos Gaurus (TBG), pemain berusia 22 tahun itu diharapkan mampu membina semula keyakinannya walaupun ia hanya aksi pemanas badan.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila tinjauan di media sosial mendapati rata-rata peminat setia Perak FC akhirnya mula menarik nafas lega.
Namun, di sebalik respons yang diberikan dalam ruangan komen, ada di antara mereka yang berseloroh mengenai pandangan sebilangan penyokong pasukan sebelum ini.
Bagi mereka, kredibiliti skuad utama Perak FC serta Teong Kim mula dipersoalkan selepas mencatatkan keputusan yang tidak konsisten sepanjang tempoh pramusim.
Skuad utama Perak FC akhirnya menarik nafas lega selepas menang 5-2 ke atas skuad B-23 mereka. — Facebook/Perak FC
Pandangan tersebut dikuatkan lagi apabila skuad B-23 yang dikendalikan bekas ketua jurulatih, Yusri Che Lah beraksi dengan cemerlang apabila menundukkan Melaka FC 5-0 awal bulan lalu.
Seorang penyokong Perak FC, Firdaus Saleh menjadi antara individu yang mula mempersoalkan pemilik suara-suara sumbang itu menerusi sebuah komen di halaman Facebook rasmi pasukan.
"Jadi, macam mana? Nak suruh pasukan adik-adik untuk menggantikan skuad utama Perak lagi ke?" katanya.
Perkara itu turut diluahkan Hasrul Rizal yang juga dilihat semakin yakin dengan kemampuan serta kebolehan anak-anak buah Teong Kim.
"Mohon puak-puak yang mengatakan skuad Perak B-23 dapat menggantikan pasukan senior kat Liga Super untuk memberikan komen anda," katanya.
Bagi Hanz Hanif pula, meskipun Yusri sudah menabur jasa ketika bersama pasukan itu di Liga Perdana, pendapat untuk mengharapkannya memegang tampuk kejurulatihan semula perlu disangkal.
"Nampak gayanya, pasukan Yusri Che Lah tidak bolehlah bermain dalam divisyen teratas domestik seperti mana ada yang minta sebelum ini," katanya.
Meskipun hanya menduduki tangga kesembilan Liga Perdana 2022, Perak FC dihidangkan dengan peluang keemasan apabila rombakan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membolehkan mereka layak ke kancah Liga Super musim ini.
Pasukan itu bakal memulakan kempen mereka dengan pertembungan bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC di laman sendiri pada 25 Februari ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram