KEDAH Darul Aman (KDA FC) memulakan kempen Liga Super musim ini dengan keazaman dan semangat baharu.
Selepas mengumumkan usahawan Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, sebagai pemilik saham terbesar Darulaman Football Club Sdn Bhd, Sang Kenari membuka sayap dengan pengenalan muka-muka baharu bagi memacu kelab itu.
Skuad Hijau Kuning bermula garang menerusi pengenalan jurulatih terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022, Nafuzi Zain sebagai pengendali pasukan tersebut.
KDA FC kemudian melengkapkan barisan pemain termasuk membawa import pilihan Nafuzi bagi memastikan kualiti dipersembahkan Sang Kenari mampu membuahkan kejayaan yang disasarkan.
Daud Bakar ketika bercakap dalam segmen Bual Konti di Berita RTM ContyNews pada 4 Februari lalu meletakkan harapan tinggi kepada skuad Hijau Kuning untuk kembali memberi saingan dalam kelompok teratas Liga Super pada musim 2023.
Sebahagian skuad KDA FC bergambar kenangan di Turkiye. — Facebook
Beliau berkata, KDA FC akan cuba sebaik mungkin untuk berada dalam kelompok empat terbaik Liga Super selepas hanya menduduki tangga kelapan musim lepas.
"Tahun ini kita cuba bawa performance yang agak malap tahun lepas kepada Top 4 dan insya-ALLAH kita cuba berusaha untuk dapat satu piala musim ini.
"Untuk piala, kita risik-risiklah kot ada peluang dapat menang piala yang dipertandingkan," katanya dalam segmen tersebut.
Daud berkata, KDA FC akan memberi fokus kepada pembentukan pasukan yang mantap di bawah bimbingan Nafuzi dalam tempoh setahun dua lagi.
"Kita tahu Nafuzi adalah jurulatih baharu untuk KDA FC, perlukan masa...jadi fokus kita mungkin bukan tahun ni tapi tahun depan.
"Ini bagi membentuk pasukan yang benar-benar mantap dan bermimpi menjadi juara dalam kalangan juara," katanya.
Bagi saingan Liga Super 2023, KDA FC akan memulakan aksi bertemu Perak FC pada 25 Februari 2023.
Selain itu, skuad Sang Kenari dan Penang FC, akan bertemu dalam pusingan pertama Piala FA 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram