'Darul Aman tak full kalau ceroi tahun ni', fans Kedah membuak sokong pasukan kesayangan


  • Podium
  • Khamis, 16 Feb 2023

Skuad Sang Kenari mencatatkan beberapa siri kemenangan sepanjang tempoh perlawanan pemanas badan musim ini. — Facebook/KDA FC

MENJELANG tirai pembukaan Liga Super pada hujung Februari ini, rata-rata pasukan sudah melakukan persiapan terakhir apabila sudah tidak lagi mengadakan aksi persahabatan.

Perlawanan pemanas badan yang dijalankan sepanjang tempoh pramusim sudah cukup untuk memberi bayangan mengenai pencapaian mereka bagi musim 2023.

Antara pasukan yang menggunakan tempoh tersebut dengan sebaik mungkin ialah Kedah Darul Aman (KDA) FC yang mengadakan sesi latihan berpusat di Turkiye.

Selain itu, beberapa siri perlawanan persahabatan juga diadakan bagi membolehkan rekrut-rekrut baharu mendapatkan rentak bersama rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan.

Antara perlawanan yang diadakan ialah pertemuan bersama naib juara Liga Perdana musim lepas, Kelantan FC yang mana berkesudahan 2-0 memihak kepada skuad Sang Kenari.

Lebih menarik lagi, usaha pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar juga dilihat sangat berbeza dan komited apabila mereka berkunjung ke Turkiye.

Di samping mengadakan sesi latihan, mereka turut terlibat dalam aksi persahabatan menentang beberapa kelab dari benua Eropah dan Asia Tengah, seperti Metalist Kharkiv.

Pendekatan itu sepertinya membuktikan keazaman Daud Bakar yang baru sahaja membeli majoriti saham kelab itu pada pertengahan Ogos 2022.

WhatsApp Image 2023-02-16 at 6.10.10 PM

Kedah diberikan nafas baharu selepas pelaburan besar-besaran dilakukan Daud Bakar. — Facebook/KDA FC

Jadi, tidak hairanlah apabila perkara itu diberikan sokongan padu daripada penyokong Hijau Kuning yang tidak sabar untuk melihat hasil daripada pelaburan besar-besaran itu.

Bagi seorang peminat setia Sang Kenari, Budak Bendang, keterujaan itu dapat disaksikan apabila rata-rata perlawanan yang diadakan menarik ribuan penonton di stadium mahupun menerusi siaran langsung berbayar

"Pada ketika ini, percayalah perminat Kedah dalam suasana yang membuak-buak untuk turun menyokong pasukan kesayangan mereka. Trend ini dapat dilihat melalui perlawanan persahabatan, Piala Harapan dan tontonan secara langsung ketika jelajah Eropah di Turkiye.

"Tan Sri telah menunjukkan komitmennya dengan penjenamaan semula Kedah dengan membawa masuk Nafuzi Zain sebagai pengendali dan import yang berkualiti," katanya.

Sejak pembukaan jendela perpindahan Disember lalu, KDA FC dilihat kerap membawa masuk wajah-wajah baharu, termasuk beberapa import seperti Manuel Hidalgo dan Willian Lira.

Budak Bendang berkata, berdasarkan penampilan yang dicatatkan sepanjang tempoh pramusim, penyokong Sang Kenari mula berasakan kehadiran mereka mampu memadam mimpi ngeri musim lepas apabila mereka hanya menduduki tangga kelapan Liga Super.

"Selain itu, Tan Sri juga telah berjaya membawa Kedah menjalani perlawanan persahabatan yang berkualiti buat Kedah. Sebelum ini, hanya MADA atau Perlis United yang menjadi rakan sparring Kedah sebelum liga bermula.

"Duo import Brazil yang menjadi nadi serangan Kedah pastinya akan ditunggu-tunggu ketajamannya oleh peminat Kedah. Percayalah, tekaan pada game pertama di Ipoh, Perak akan dibanjiri oleh lautan Hijau Kuning. Ceroi kalau tahun ni Stadium Darul Aman tak full house," katanya.

KDA FC bakal memulakan saingan bertemu kelab kedua tercorot Liga Perdana 2022, Perak FC di tempat lawan pada 25 Februari sebelum menerima kunjungan Terengganu FC pada 1 Mac. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram