Kurang 24 jam lelaki 'gempur' Pasar Borong Selayang, iklan MPS kena perli


  • Tular
  • Rabu, 15 Feb 2023

Tangkap layar video memaparkan Mohd Sophian hadir meninjau keadaan di Pasar Borong Selayang pada Isnin.

PENGERUSI Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd Sophian Mohd Zain bertindak berani apabila lantang menyuarakan rasa tidak puas hati beliau terhadap pihak berkuasa kerana tidak mengambil tindakan tegas terhadap warga asing berniaga di sekitar kawasan Pasar Selayang, Selangor.

Keberaniannya itu menjadi bualan warga maya selepas videonya berdepan peniaga warga asing tular di media sosial.

Dalam video tersebut, beliau secara terbuka mempersoalkan pihak berkuasa yang didakwa berdiam diri terhadap kebanjiran peniaga warga asing di kawasan tersebut.

Malah Mohd Sophian juga menunjukkan papan tanda yang melarang aktiviti perniagaan dijalankan di bahu jalan lalu mempersoalkan kenapa warga asing dibenarkan melakukan perkara yang dilarang?

“Dilarang menjaja di kawasan bahu jalan, ini bukan mereka meniaga.

"Ini mereka buat macam mak bapa punya negara, dia letak peti asi, dia buat kedai makan, dia pacak khemah, tiada tindakan.

"Jalan dia halang, lagi memalukan ada trak penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS), tapi kenapa tak angkat?” katanya dalam video tersebut.

Dalam video lain pula, Mohd Sophian dipercayai dikepung oleh beberapa warga Rohingya yang dilihat tidak berpuas hati dengan tindakannya.

Mengulas tentang tindakan Mohd Sophian itu, rata-rata netizen meluahkan rasa kecewa dengan situasi terkini di pasar tersebut yang semakin dikuasai peniaga warga asing.

"Patut buat pembersihan warga asing tanpa sah ini secara berterusan, lagi pun negara kita tak ada tandatangani perjanji UNCHR ini," kata Kama Abdullah.

"Penguatkuasa perlu buat kerja betul-betul, kalau malas pecat ganti orang lain," jelas Che Amripz.

"Masalah kembali semula kepada pihak penguatkuasa, kalau buat dan kuat mesti mereka tak berani buat," ujar Husri Jumaiadin.

"Dah lama mereka bertapak, dah ada empat keturunan, kenapa nak cerita kembali menjajah?" soal Qairool Aremean.

Menerusi perkongisan video salah seorang pengguna media sosial, dipercayai Penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang sudah pun melakukan tugas yang mana dilihat beberapa anggota sedang melakukan soal siasat dan melihat beberapa barangan yang dijual.

Dalam pada itu, kurang 24 jam lepas video itu tular, MPS mengeluarkan iklan penyewaan harta sewaan MPS di akaun Facebook rasminya, namun hantaran tersebut dikecam ramai berdasarkan situasi di Pasar Borong Selayang.

"Pelik, yang pegang kad UNHCR tak boleh mohon ke? Tengok ramai sahaja mereka berniaga, buka khemah apa semua," ujar Norazman Md Nor.

MPS bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung video itu di platform media sosialnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram