KJ buat dua kerja serentak, Ahmad Maslan pula yang kena 'troll'


  • Massa
  • Khamis, 16 Feb 2023

KJ memulakan tugas sebagai penyampai radio bersama Hot FM pada Rabu.

BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau KJ sah menyertai kelab gergasi bola sepak Malaysia, Johor Darul Takzim (JDT).

Perkembangan itu dimaklumkan kelab berkenan dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook rasmi mereka, Johor Southern Tigers, pada Rabu.

KJ dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah kelab juara bertahan Liga Super itu serta menjadi penasihat belia Johor.

Sebelum ini, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) sudah memberi bayangan bahawa Khairy akan menyertai JDT selain bakal dilantik sebagai penasihat belia Johor.

Namun menjadi perhatian ramai apabila nama Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan dipetik oleh pengguna media sosial berkaitan pekerjaan yang dilakukan oleh KJ selepas dipecat Umno.

"Ini baru betul saranan Ahmad Maslan, buat dua kerja, satu sebagai penyampai DJ Hot FM dan kedua Ahli Lembaga Pengarah JDT," jelas netizen.

Ia kerana sebelum ini, Ahmad Maslan pernah menyarankan supaya rakyat Malaysia melakukan dua kerja bagi mengatasi kos sara hidup semakin meningkat.

Saranan Ahmad Maslan ketika itu menimbulkan kemarahan banyak pihak, sehingga mendapat pelbagai reaksi termasuk dijadikan bahan jenaka oleh orang ramai.

Dalam pada itu, menerusi tinjauan Majoriti rata-rata orang ramai teruja apabila KJ kini menjadi deejay Hot FM dan mereka mendoakan beliau sentiasa berjaya di masa akan datang.

"Satu pintu tutup, seribu pintu terbuka," ujar Zainul Arif.

"Kalau dah masuk JDT, KJ akan lagi power daripada Zahid Hamidi sebab TMJ akan payung KJ," jelas Mansor Bin Hashim.

"Tahniah, orang ada value dekat mana-mana anda berada pun akan dilihat kecemerlangannya," luah MD Nawawi.

"Pagi-pagi buka radio Hot FM ada KJ dari Menteri Kesihatan sekarang jadi DJ Hot FM," kata Rohana Ana.

Dalam bidang sukan, Khairy pernah memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan dari tahun 2013-2018 yang mana beliau mengilhamkan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bagi melahirkan pemain muda berbakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram