KEKOSONGAN jawatan pengurus skuad kebangsaan serba sedikit merencatkan masa depan sukan bola sepak untuk terus berkembang sebagai pasukan terbaik di rantau Asia Tenggara.
Meskipun terdapat segelintir pihak berpendapat ia bukanlah satu keperluan, namun kejayaan negara jiran, Thailand dalam kempen Piala AFF membuktikan perkara sebaliknya.
Kehadiran Nualphan Lamsam, atau lebih dikenali sebagai Madame Pang memberi ruang kepada skuad Gajah Perang untuk tampil dengan lebih kemas dan teratur.
Oleh itu, dengan pasukan kebangsaan bakal bersaing dalam kempen Piala Asia 2023, kehadiran seorang pengurus berwibawa pastinya boleh memainkan peranan penting.
Berdasarkan khabar angin yang bertebaran, terdapat cadangan bahawa pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim sebagai calon terbaik.
Kredibilitinya itu sudah dibuktikan apabila kelab Selatan tanah air itu sudah mengungguli bola sepak tempatan dengan kejayaan demi kejayaan berjaya dicatatkan.
TMJ dikatakan sebagai calon terbaik untuk memegang jawatan pengurus Harimau Malaya.
Namun, terdapat juga segelintir pihak yang menolak cadangan berkenaan apabila lantikan itu akan mencetuskan konflik kepentingan demi masa depan skuad Harimau Malaya.
Persoalannya, siapakah dalam kalangan individu berpengaruh di negara ini yang mempunyai pengalaman dan rekod cemerlang selepas bertahun-tahun terlibat dalam industri bola sepak?
Antara nama yang disebut-sebut ialah bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang pernah memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan selama lima tahun.
Selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dia memilih untuk menceburi bidang lain apabila baru-baru ini, stesen radio tempatan, Hot FM mengesahkan kehadirannya sebagai penyampai.
Bagaimanapun dengan Harimau Malaya masih memerlukan seorang yang berkredibiliti untuk menguruskan pasukan, tidak timbul sebarang persoalan sekiranya Khairy memilih untuk sekali lagi bergiat dalam bidang sukan.
Perkara itu turut dipersetujui penganalisis bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim meskipun terdapat beberapa persoalan mengenai tahap kesediannya memegang jawatan tersebut.
"Dari segi ilmu dan pengetahuan dalam pentadbiran, Khairy merupakan yang terbaik. Tetapi, sumber kewangan untuk dia menguruskan pasukan akan diperolehi dari mana?" katanya kepada Majoriti.
Zulakbal menyokong sekiranya Khairy memegang jawatan tersebut.
Tambah Zulakbal, namun masalah kewangan tidak akan dihadapi TMJ yang sememangnya diketahui memiliki minat mendalam untuk membangunkan industri sukan tempatan.
Pada Januari lalu, Khairy pernah ditawarkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT selepas dia digugurkan keahlian daripada Umno.
Namun, bekas Menteri Kesihatan itu memilih bidang penyiaran dan sekali gus bermakna jawatan tersebut masih belum diisi.
Jelas Zulakbal lagi, pengalaman dan hubungan baik KJ bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan menjamin sumber kewangan skuad kebangsaan.
"Persoalannya, adakah dia memegang sebarang kuasa di tangannya? Sebelum ini, ketika dia berkuasa, jadi dia boleh guna hubungan itu dengan baik," katanya.
Sepanjang mengendalikan Kementerian Belia dan Sukan, Khairy pernah mencatatkan beberapa pencapaian signifikan, termasuk memegang jawatan sebagai Pengerusi Majlis Sukan Negara (MSN). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram