SELEPAS disahkan bakal mengendalikan segmen Bekpes Hot di stesen radio Hot FM, status tawaran Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Johor Darul Takzim (JDT) menjadi tanda tanya.
Ini kerana sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) pernah menawarkan jawatan sebagai CEO dan penasihat kelab elit selatan tanah air itu.
Dengan menilai situasi semasa, rata-rata penyokong Harimau Selatan berpendapat, Khairy atau mesra dipanggil KJ dilihat sukar untuk memberi komitmen kepada kelab jika sudah bergelar penyampai radio.
Tambahan lagi waktu bertugas Khairy bersama stesen radio popular itu adalah dari Isnin hingga Jumaat dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi, mulai 15 Februari depan.
Manakala kempen Liga M bagi musim ini pula akan membuka tirai secara rasmi dengan perlawanan Piala Sumbangsih pada 24 Februari.
Jadual Liga Super juga menjadi lebih panjang iaitu sehingga 17 Disember melibatkan keseluruhan 182 perlawanan selepas terdapat penambahan 50 aksi berbanding musim lepas.
Jadi timbul persoalan bagaimana bekas Menteri Kesihatan itu mahu membahagikan jadual tugas antara kerjaya sebagai penyampai radio dan CEO kelab JDT pada satu-satu masa.
Perkongsian dimuat naik oleh TMJ berhubung lamaran KJ di laman Instagram peribadinya pada Sabtu malam.
Adapun yang menganggap khidmat Khairy di Hot FM mungkin hanya sementara dan beliau boleh mengendalikan JDT apabila menerima tawaran rasmi kelak.
Tambahan lagi tidak dinyatakan tempoh tawaran Khairy bersama stesen radio itu sehingga bila. Jadi masih ada kemungkinan beliau masih berpeluang menyandang jawatan tersebut.
Lagipun TMJ sebelum ini memaklumkan Khairy adalah CEO masa depan JDT dan penasihat pembangunan belia Johor. Ini mungkin bermaksud pintu JDT untuk Khairy sentiasa terbuka.
Terdahulu, dalam sepucuk surat rasmi dari Hot FM bertarikh 28 Januari 2023 itu, Khairy ditawarkan jawatan sebagai pengacara radio bagi segmen Bekpes Hot.
Selain tawaran itu, KJ juga dilaporkan menerima tawaran daripada TMJ sebagai CEO JDT.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram