Nama deejay KJ dipetik lepas TMJ tolak jadi pengurus Harimau Malaya


  • Podium
  • Selasa, 14 Feb 2023

KJ dianggap calon paling sesuai untuk menjadi pengurus Harimau Malaya.

JAWATAN pengurus pasukan Harimau Malaya masih kekal kosong selepas pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilaporkan tidak berminat untuk menjawat posisi tersebut.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sambil berkata, TMJ tidak mempunyai hasrat untuk memegang sebarang jawatan dalam pasukan negara.

Walaubagaimanapun, Tunku Ismail masih berhasrat untuk terus membantu meningkatkan mutu pasukan negara terutamanya dalam mempersiapkan Harimau Malaya ke Piala Asia 2023 pada Januari tahun depan.

Selepas kenyataan tersebut, penyokong bola sepak tanah air juga tidak menunggu lama mencadangkan seorag figura yang cukup terkenal dalam industri sukan negara.

ISKANDAR PUTERI, 17 Dis -- Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika sidang media di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak JDT, Iskandar Puteri hari ini.
--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA


TMJ tidak berminat untuk memegang jawatan sebagai pengurus Harimau Malaya.

Menjengah di ruang komen media sosial, rata-rata warganet memetik nama Khairy Jamaluddin untuk menjawat jawatan tersebut berikutan kredibilitinya sepanjang memegang portfolio sebagai Menteri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dari 2013-2018.

Bukan itu sahaja, Khairy yang mesra dengan sapaan KJ itu pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Presiden FAM pada 2007.

"Bagi KJ lah jadi pengurus Harimau Malaya," kata penyokong, Sidzam Saidon.

"KJ on," tambah seorang lagi penyokong, Nazri Said yang bersetuju jika bekas Ahli Parlimen Rembau itu menyandang jawatan sebagai pengurus skuad kebangsaan.

Sebelum ini, Majoriti pernah melaporkan penganalisis bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim bersetuju jika Khairy memegang jawatan tersebut namun ada beberapa perkara menjadi persoalan.

Antara persoalannya yang dibangkitkan Zulakbal ialah adakah Khairy boleh menjamin sumber kewangan skuad kebangsaan sekiranya beliau menjadi pengurus Harimau Malaya.

Dalam perkembangan lain, KJ bakal mengendalikan segmen Bekpes Hot di stesen radio Hot FM bermula Rabu ini dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi.

Selain itu, Khairy juga pernah ditawarkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT pada Januari lalu selepas dia digugurkan keahlian daripada Umno. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram