PEMECATAN bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dalam Umno disusuli tawaran pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim untuk menyertai pasukan itu.
Berdasarkan hantaran yang dibuat di laman Instagram peribadinya, satu pelawaan diberikan untuk mengisi kekosongan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).
Menjawab akan perkara itu, Khairy menegaskan dia berminat dengan tawaran tersebut, malahan hatinya masih terikat dengan dunia bola sepak.
Hal itu kerana ahli politik berusia 47 tahun itu pernah dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan selama lima tahun, iaitu dari 2013 hingga 2018.
Sepanjang memegang jawatan itu, reputasinya terus melonjak dengan membawa perubahan dan mencatatkan momen-momen terbaik, termasuk penganjuran Sukan SEA 2017.
Jadi, tidak boleh dinafikan bahawa tawaran itu cukup diterima baik ramai pihak, termasuk penyokong Harimau Selatan yang mengharapkan suntikan unik daripada Khairy.
Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim.
Namun, timbul juga persoalan mengenai kredibiliti yang dimiliki bekas Menteri Kesihatan itu dalam membimbing sebuah kelab bola sepak profesional.
Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim, beliau berpendapat tawaran dibuat TMJ itu membuktikan pasukan Selatan tanah air itu akan terus melangkah ke hadapan.
"Tawaran daripada TMJ itu membuktikan dia seorang yang berpandangan jauh kerana KJ (Khairy) ini merupakan satu sumber yang baik untuk bantu pasukan.
"Dengan pengalaman, kelulusan Khairy di peringkat antarabangsa, TMJ pasti hendak menggunakannya demi kebaikan JDT nampaknya," katanya kepada Majoriti.
Khairy cukup terkenal dengan sukan bola sepak sepanjang karier politiknya. — Astro Awani
Jelas Zulakbal, dia melihat terdapat beberapa ciri penting yang dapat diperhatikan dalam diri Khairy, lebih-lebih lagi ketika dia memegang portfolio di Kementerian Belia dan Sukan.
"Pertama, dia seorang yang cukup berminat untuk mendalami bola sepak, termasuk ketika dia berada di United Kingdom. Dari situ, dia pasti tahu selok belok bola sepak profesional.
"Apabila dia sudah menyaksikannya sendiri, ditambah pula dengan pengalamannya bersama Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), dia boleh bantu untuk pembangunan bakat-bakat muda," katanya.
Selain berkhidmat sebagai Menteri Belia dan Sukan, Khairy juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN) dalam usahanya meningkatkan martabat industri berkenaan.
Ketika ini, dia dilihat tidak akan bergiat dalam politik selepas tidak lagi terikat dengan Umno selepas tewas ketika bertanding di Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram