Tonggak skuad B-23 negara sedia tempuhi episod baharu bersama Terengganu


  • Podium
  • Selasa, 14 Feb 2023

Safwan juga bercita-cita tinggi untuk mendapatkan tempat bersama skuad Sukan SEA 2023. — Twitter/safwanmazlan_

PEMAIN pertahanan skuad Harimau Malaya Bawah 23 (B-23), Mohd Safwan Mazlan meletakkan satu cita-cita tinggi untuk kempen Liga Super 2023.

Dia yang ketika ini terikat bersama Terengganu FC berharap agar ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner memberikannya lebih banyak peluang di atas padang.

"Selain usia saya yang agak muda, kebolehan saya untuk beraksi di mana-mana posisi pertahanan, termasuk sebagai bek sayap, merupakan satu kelebihan.

"Walau apa pun cabaran yang perlu saya hadapi, saya berjanji akan berusaha keras untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama," katanya.

Safwan, yang ketika ini baru sahaja berusia 21 tahun, memahami akan cabaran besar yang perlu ditempuhi bagi mendapatkannya tempat bersama pasukan senior.

Bagaimanapun, dia masih bercita-cita besar untuk digelar tonggak pasukan meskipun terpaksa menonjolkan kesungguhan berbeza buat Tomislav.

Ketika ini, Safwan sedang bersama-sama pasukan senior Terengganu FC yang mengadakan sesi latihan pramusim berpusat di Thailand.

Dalam masa sama, bekas pertahanan skuad Projek FAM-MSN itu turut meletakkan sasaran untuk bersama-sama skuad B-23 Harimau Malaya ketika Sukan SEA Kemboja pada Mei nanti.

"Saya berasa kecewa dan sedih apabila saya tidak dipanggil untuk mewakili negara, lebih-lebih lagi apabila rakan sepasukan diberikan peluang sebelum ini.

"Jadi, saya harap ketua jurulatih, E Elavarasan akan memberi saya peluang supaya saya boleh mendapatkan pengalaman beraksi di pentas antarabangsa," katanya.

Pada 2022, Safwan terpaksa melupakan hasrat untuk menyarung jersi kebangsaan ketika Sukan SEA Hanoi apabila menghidap Covid-19. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram