Selepas diperam di Terengganu, pemain sayap tiba-tiba meletup di Penang


  • Podium
  • Isnin, 13 Feb 2023

Rahmat (kanan) jarang mendapat tempat sepanjang beraksi bersama skuad senior Sang Penyu sebelum ini. — Facebook/Terengganu FC

SEPANJANG tempoh pramusim kali ini, pasukan tercorot Liga Super 2022, Penang FC dilihat semakin menyerlah selepas beberapa siri aksi persahabatan.

Di samping menerima kunjungan beberapa kelab lain, penyertaan mereka dalam Piala Harapan turut membuktikan bahawa skuad Harimau Kumbang semakin bersedia.

Antara nama-nama yang semestinya mencuri perhatian ialah pemain import kelahiran Lubnan, Soony Saad serta perancang baharu pasukan, Ousmane Fane.

Tetapi, bagi penyokong fanatik Harimau Kumbang, mereka lebih berminat untuk memberi pujian menggunung terhadap penyerang sayap, Rahmat Makasuf.

Selepas kerap disisihkan di bangku simpanan Terengganu FC, pemain berusia 25 tahun itu memilih untuk menyertai Penang FC dengan status pinjaman.

Kelincahan dan kemampuan Rahmat dipamerkan ketika perlawanan akhir Piala Harapan menentang Selangor FC yang mana pasukannya mencatatkan kemenangan 2-1.

329089172_590188122482201_8933732802168520499_n

Aksi cemerlang Rahmat ketika berdepan Selangor FC mencuri perhatian. Facebook/Penang FC

Walaupun dia hanya beraksi pada babak kedua permainan, sumbangan yang diberikan pemain kelahiran Kuala Berang, Terengganu itu dikatakan punca di sebalik kejayaan berkenaan.

Jadi, tidak timbul sebarang persoalan dalam kalangan penyokong Harimau Kumbang yang mengharapkan penyerang terbabit dijadikan tonggak pasukan untuk musim akan datang.

Namun, tinjauan di media sosial mendapati ada juga segelintir peminat setia Terengganu FC yang mula mencemburui bakat terpendam Rahmat.

"Kadang-kadang, pemain perlukan angin baharu untuk menonjol, jangan fikir ketika mereka bersama kita dahulu. Jangan terlalu pelik dan keji mana-mana pihaklah," kata Ahmad Shaharul Abd Rashid.

"Mungkin kerana Nafuzi Zain jarang menurunkannya. Sebelum ini, ketika bermain bersama Irfan Bakti, kerap juga dia diturunkan," kata Mazli Mohamad.

"Dia memang padu, cuma tidak dapat minit permainan ketika bersama Terengganu. Stamina dia bagus, larian pun laju ketika berdepan Selangor FC," kata Thq Pablo.

Musim lepas, penyerang berketinggian 1.65m itu hanya diturunkan sebanyak dua kali yang mana menyebabkan prestasi dan bakatnya gagal dipamerkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram