Penyokong Sabah kempunan, sanggup bayar untuk ubati rindu terhadap kelab


  • Podium
  • Selasa, 14 Feb 2023

Penyokong Sang Badak sudah tidak sabar-sabar untuk menyaksikan persembahan pemain pasukan itu. — Facebook/Sabah FC

SELEPAS mengalami kekalahan dalam beberapa aksi persahabatan awal Januari lalu, Sabah FC mula menunjukkan taring sebenar ketika berdepan kelab Singapura, Geylang International FC.

Pertembungan yang diadakan di Stadium Likas, Sabah itu berakhir dengan kemenangan buat skuad Sang Badak apabila mereka menjaringkan enam gol tanpa dibalas.

Keputusan tersebut pastinya cukup menggembirakan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee apabila keserasian antara anak-anak buahnya semakin erat.

Selain itu, pertembungan itu juga serba sedikit menyuntik keyakinan buat beberapa pemain baharu, terutamanya Darren Lok yang menjaringkan gol pertama buat Sabah FC.

Bagaimanapun, dengan tirai Liga Super hanya akan dibuka pada hujung Februari nanti, mereka dilihat masih bersungguh-sungguh untuk menjalankan aksi persahabatan.

Di samping bertujuan untuk mengekalkan tahap kecergasan pemain, Kim Swee juga pastinya mahu memberi lebih banyak masa permainan buat pemain muda dan rekrut-rekrut baharu.

Jadi, dalam mencapai cita-cita tersebut, pihak pengurusan memilih untuk berdepan kelab Liga M3, Melaka FC di tempat sendiri pada Rabu.

330007178_3292163427666664_169797150516432364_n

Darren Lok (tengah) beraksi dengan cemerlang ketika bertemu Geylang International FC. Facebook/Sabah FC

Perlawanan tersebut dijangka akan menarik ratusan penyokong Sang Badak yang tidak sabar-sabar untuk melihat kemampuan skuad sedia ada.

Tetapi, di sebalik keghairahan yang dikongsikan menerusi media sosial itu, terdapat beberapa luahan daripada peminat setia pasukan yang berdepan kesukaran untuk menyaksikan pertembungan tersebut.

Menurut mereka, adalah lebih baik buat pihak pengurusan Sabah FC untuk menyediakan siaran langsung bagi penyokong yang tidak dapat hadir ke Stadium Likas pada hari perlawanan.

"Sediakanlah paparan perlawanan secara berbayar sekali pun seperti tahun-tahun sebelum ini, fikirkanlah mengenai mereka yang berada di luar negeri, yang mempunyai masalah pengangkutan.

"Jika kami mahu dapatkan siaran langsung daripada penyokong dalam stadium, ia sudah salah dan menyalahi peraturan, kami tiada isu untuk bayar," kata Max Steves.

"Kalau mahu kutip dana pun, boleh cadangkan untuk adakan siaran langsung berbayar kerana kami yang jauh pun mahu tonton juga," kata Ad Dily.

"Harap daripada pihak pengurusan dapat sediakan siaran langsung, kasihanilah kami yang sedang bekerja tidak sempat untuk ke stadium," kata Adil Zah.

Selepas pertembungan tersebut, Sabah FC dijangka tidak akan lagi mengadakan aksi pemanas badan bagi memberikan masa rehat buat pemain.

Pasukan Borneo itu bakal memulakan kempen Liga Super 2023 mereka berdepan Kelantan United FC pada 1 Mac di laman sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram