Bawa masuk 5 tonggak baharu, skuad Penyu optimis mampu jadi 4 terbaik MPFL


  • Podium
  • Selasa, 14 Feb 2023

TFT membawa masuk tonggak import dari Indonesia, Andika Sontoso untuk memperkuatkan pasukan musim ini. — Facebook/TFT

SKUAD futsal Terengganu, Terengganu Futsal Team (TFT) menyasarkan berada pada kedudukan empat pasukan terbaik dalam saingan Kumpulan A Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) yang bermula Sabtu ini.

Ketua Jurulatih TFT, Mohd Rozairi Ahmad berkata, walaupun latihan musim ini bermula agak lewat, beliau optimis mampu mencapai sasaran tersebut memandangkan 60 peratus skuad yang dikekalkan daripada musim lepas adalah barisan pemain berpengalaman.

Beliau berkata selain itu, skuad musim ini turut diperkuat dengan tonggak import dari Indonesia, Andika Sontoso dan empat pemain tempatan berpengalaman yang baru dibawa masuk iaitu bekas pemain negara, Akil Khalis Adli Khairus, Amirul Izzad Adang dan pasangan kembar Mohd Hafiz dan Mohd Hafizi Ismail.

"Tahun lepas kita berada di tempat ketujuh liga tetapi dengan kekuatan skuad musim ini kita berpotensi untuk berada di kedudukan empat teratas dan mara ke pusingan kalah mati Piala Futsal Malaysia.

"Memang kita bermula agak lewat tetapi itu bukan alasan untuk kita menjadi sekadar pasukan pelengkap liga," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Gelanggang Futsal Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Nerus, Terengganu.

Walau bagaimanapun, Mohd Rozairi berkata, persiapan pasukan ketika ini agak terjejas selepas Andika mengalami kecederaan lutut yang serius ketika sesi latihan dua hari lepas.

Akibat kecederaan tersebut, pemain berusia 28 tahun itu bakal terlepas beberapa perlawanan kerana terpaksa direhatkan sekurang-kurangnya sebulan.

"Memang agak kecewa kerana beliau tak dapat beraksi pada perlawanan pertama tetapi kita ada pelan B untuk menghadapi pasukan lawan," katanya yang menjangkakan saingan sengit daripada pasukan Pahang Rangers dan Pulau Pinang.

Terengganu akan membuka gelanggang pertama musim ini dengan melayan kunjungan Kedah di Stadium Negeri, Kuala Terengganu Sabtu ini.

Selain Terengganu, turut diundi dalam Kumpulan A adalah Kedah, Pahang Rangers, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sabah, Pulau Pinang dan KPT-PST Mustangs. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram