'Fans' Sabah sudah jumpa sebab Jailton Paraiba mengganas


  • Podium
  • Isnin, 13 Feb 2023

Jailton beraksi dengan cemerlang dalam aksi persahabatan berdepan Geylang International FC. — Facebook/Sabah FC

AKSI persahabatan antara Sabah FC dan pasukan berpangkalan di Singapura, Geylang International FC berakhir dengan keputusan memberangsangkan buat skuad Sang Badak.

Perlawanan yang berlangsung dari Stadium Likas, Sabah pada Ahad itu menyaksikan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee menang dengan skor 6-0.

Meskipun ia hanya perlawanan pemanas badan, ia memberi gambaran bahawa keserasian semakin terbentuk antara pemain selepas beberapa aksi persahabatan diadakan.

Manakan tidak, dalam beberapa perlawanan sebelum ini, Sabah FC dilihat gagal membawa pulang sebarang hasil seperti mana yang diharapkan.

Sebagai contoh, kekalahan 0-2 ke atas kelab Denmark, Odense Boldklub memberi bayangan bahawa Sabah FC masih bergelut untuk bermain dengan kemas.

Jadi, kemenangan yang dicatatkan ketika bertemu Geylang International FC pastinya memberi keyakinan buat pihak pengurusan dan penyokong kelab.

Antara perkara yang disebut-sebut berikutan pertembungan itu adalah ketangkasan dipamerkan pemain sayap kelahiran Brazil, Jailton Paraiba.

Walaupun tidak menjaringkan sebarang gol, gaya permainan dan gelecekan penyerang tersebut dikatakan cukup memukau dalam mencipta ruang buat rakan sepasukan.

329935336_1798126280573443_1253065467659959890_n

Jailton Paraiba dilihat pernah mengambil gambar bersama Neymar Jr.

Lebih menarik lagi, tubuh badannya yang kecil seolah-oleh menjadi satu kelebihan untuk melepasi benteng pertahanan skuad The Eagles.

Oleh itu, penyokong Sabah FC pastinya tertanya-tanya mengenai rahsia di sebalik kemampuan serta kebolehan yang ditonjolkan pemain berusia 32 tahun tersebut.

Bagi seorang peminat tegar Sang Badak menerusi akaun Facebook Faith Hope, hal itu adalah berpunca daripada satu foto yang dikongsikan antaranya dan bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar Jr.

"Apa tidak lincah Jailton ni, berguru bersama Neymar bah dia ni," katanya.

Gambar tersebut difahamkan dikongsikan pemain berketinggian 1.66m itu meskipun kedua-dua mereka tidak pernah berganding bersama-sama di atas padang.

Meskipun ia hanya satu bentuk gurauan, hantaran tersebut berjaya mengundang pelbagai respons daripada penyokong lain yang turut sama berseloroh akan perkara itu.

"Walaupun dia tidak menjaringkan, yang penting dia banyak mencipta bantuan gol untuk penyerang Sabah dan itu juga sudah memadai," kata Ahmad Izzad.

"Pada saya, dia ni lebih lincah daripada Neymar, ini kali betul-betul baguslah apa yang Sabah FC dapatkan," kata Lawrence Nonon.

Musim lepas, Jailton beraksi bersama kelab China, Qingdao Youth Island yang mana dia muncul sebagai salah seorang tonggak pasukan dengan lapan gol dan lima bantuan jaringan dihasilkan dalam liga.

Kini, dengan Sabah FC bakal beraksi dalam Piala AFC 2023, penyerang tersebut dilihat bakal memainkan peranan penting dalam membawa jentera serangan pasukan ke tahap baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram