Tutup buku lama di Melaka, Ifedayo bersemangat gegar gawang lawan di Liga M


  • Podium
  • Selasa, 14 Feb 2023

Ifedayo dikaitkan dengan kepulangan bersama Selangor FC untuk musim 2023. — Facebook/Selangor FC

BEKAS penyerang import Selangor FC, Ifedayo Olusegun masih tidak terikat dengan mana-mana pasukan meskipun jendela perpindahan hampir ditutup tidak lama lagi.

Pemain yang sudah menjaringkan 87 gol daripada 104 penampilan dalam saingan Liga Malaysia berkata, dia masih bercita-cita untuk terus menggegarkan arena bola sepak tempatan.

"Saya mahu melupakan masa-masa saya di Melaka, pemain tidak dibayar gaji untuk berbulan-bulan yang mana memberi kesan kepada gaya permainan kami di atas padang.

"Saya juga terpaksa berdepan realiti mengenai kehilangan bapa saya, jadi saya mengambil keputusan untuk pulang ke Nigeria," katanya.

Jelas pemain berusia 32 tahun itu, terdapat beberapa kelab Liga Super dan luar negara yang menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmatnya.

Bagaimanapun, episod gelap bersama Melaka United musim lalu memaksanya untuk membuat pilihan lebih teliti dari segi kewangan kelab.

"Selangor pernah menghubungi saya, tetapi masih tiada tawaran kontrak yang tetap daripada mereka.

"Saya masih berharap untuk menjulang sebuah trofi di Malaysia dan saya harap ia akan direalisasikan pada 2023," katanya.

Ketika bersama skuad Hang Tuah, Ifedayo hanya menjaringkan tujuh gol dalam 12 penampilan Liga Super selepas kemelut kewangan menyisihkannya daripada turun dengan lebih kerap.

Pemain berketinggian 1.8m itu pernah mencatatkan satu momen terbaik ketika bersama Selangor FC apabila dia memenangi dua Anugerah Kasut Emas untuk dua tahun berturut-turut, iaitu pada 2020 dan 2021. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram