SEBAGAI persiapan terakhir sebelum kempen Liga Super 2023 membuka tirainya, kesemua pasukan dilihat sudah melengkapkan skuad masing-masing.
Di samping lebih kerap mengadakan aksi persahabatan, mereka juga seolah-olah tidak lagi berminat untuk membawa masuk pemain baharu menjelang penutupan jendela perpindahan.
Hal itu berikutan pihak pengurusan dan kejurulatihan sudah berpuas hati dengan kualiti sedia ada berdasarkan beberapa aksi pemanas badan sepanjang tempoh pramusim.
Namun, bagi Kelantan FC pula, mereka dilihat semakin giat melakukan pelaburan apabila pelbagai khabar angin mula bertebaran di media sosial.
Lebih menarik lagi, pemilik kelab, Norizam Tukiman juga seakan-akan tidak mahu ketinggalan dalam menyampaikan berita akan kehadiran wajah-wajah baharu.
Baru-baru ini, usahawan kelahiran Johor itu mengumumkan bahawa skuad The Red Warrior (TRW) bakal menerima suntikan baharu di benteng pertahanan mereka.
Hal ini kerana pihak pengurusan difahamkan sedang berusaha keras untuk menandatangani bek kanan kelahiran Sepanyol, Miguel Cifuentes.
Pemain kelahiran Sepanyol itu dijangka akan diberi kepercayaan penuh bersama Kelantan FC. — Agensi
Usianya yang baru sahaja mencecah 32 tahun boleh dikategorikan sebagai ideal buat seorang pemain pertahanan, lebih-lebih lagi dalam landskap Liga Malaysia.
Selain itu, pengalamannya beraksi melebihi 10 tahun di Sepanyol turut meningkatkan kepercayaan penyokong akan kebolehannya untuk mengekang gerakan pihak lawan.
Berdasarkan statistik karier Cifuentes, dia pernah mewakili beberapa kelab La Liga, termasuk Malaga CF dan Girona CF dalam usaha mendapatkan minit permainan.
Namun, di sebalik pengalamannya terlibat dalam sukan tersebut, Cifuentes atau juga dikenali sebagai Cifu bukanlah seorang pemain pertahanan sejak awal kariernya.
Cifuentes (dua dari kanan) pernah beraksi menentang Real Madrid ketika bersama Elche CF. — Instagram/miguelcifu
"Sekiranya melihat kepada zaman-zaman saya berada bersama akademi, saya lebih kerap beraksi sebagai penyerang sayap kanan sehinggalah apabila saya memasuki pertengahan karier.
"Tetapi, ketika saya berhijrah ke Girona CF, pengurus pasukan, Pablo Machin melihat struktur fizikal dan kemampuan saya untuk beraksi sebagai pemain pertahanan," katanya dalam satu temu bual bersama media Sepanyol.
Sejak daripada itu, pemain berketinggian 1.74m itu diberi kepercayaan untuk beraksi sebagai pemain pertahanan, yang mana turut memainkan peranan penting buat gaya permainannya.
Bagaimanapun, kariernya berdepan ujian getir apabila kelab terakhirnya, UD Ibiza terpaksa mengambil keputusan untuk menamatkan kontraknya pada September 2022.
"Saya tidak sangka bahawa saya perlu berdepan perkara tersebut apabila pada musim lepas, saya merupakan antara tonggak skuad selepas melakukan 28 penampilan dalam Liga Segunda.
"Tetapi, tanpa sebarang notis, saya terpaksa meninggalkan kelab dengan jendela perpindahan sudah ditutup, jadi saya sertai sesi latihan Persatuan Bola Sepak Sepanyol (AFE)," katanya.
Ketika ini, posisi pertahanan kanan Kelantan FC masih perlu ditambah baik apabila mereka hanya memiliki pemain Korea Selatan, Kim Min-kyu sebagai pilihan utama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram