Norizam sampaikan berita baik isu ugutan bunuh Rontini


  • Podium
  • Sabtu, 11 Feb 2023

Norizam sebelum ini meluahkan kekecewaan mengenai ugutan bunuh yang diterima Rontini. — Facebook/TRW Kelantan FC

INSIDEN yang membabitkan ugutan bunuh terhadap pemain import Kelantan FC, Christian Rontini memberi gambaran buruk mengenai landskap bola sepak negara.

Dalam menyelesaikan isu tersebut, pemilik kelab, Norizam Tukiman menjelaskan bahawa dia cukup terkilan dengan kelakuan sebilangan peminat tegar sukan berkenaan.

Namun, perkara itu seakan-akan semakin hampir menemui jalan penamatnya apabila Norizam, atau juga dikenali sebagai Zamburger memberitahu Rontini akan dipanggil oleh pihak berkuasa.

"Rontini akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada Pegawai Penyiasat. Dari info yang diterima, pengugut sudah dikenalpasti. Laju kerja polis," katanya.

Sebelum ini, pemain berusia 23 tahun itu diberi ugutan bunuh oleh penyokong skuad The Red Warrior (TRW) yang mendesaknya untuk beraksi di tahap terbaik.

Perkara itu mula disampaikan di media sosial sebelum Norizam sendiri meluahkan kekecewaannya terhadap insiden berkenaan dan berjanji untuk terus memberi bantuan dari segi moral kepada Rontini.

Sementara itu, tinjauan Majoriti di ruangan komen mendapati rata-rata penyokong juga berikrar untuk sentiasa bersama pemain kelahiran Itali tersebut sepanjang berada di kelab Pantai Timur itu.

"Kes ugut bunuh tetap bahaya tuan, perlu ambik serius. Jangan fikir ia hanya satu gurau gurauan. Rontini pun bimbang akan terjadi seperti pemain Colombia, (Pablo) Escobar ditembak mati selepas Piala Dunia kerana bermain dengan teruk," kata Aril Adrill.

"Tolong sampaikan kepada pemain import tu Tuan, semua penyokong Kelantan FC akan terus memberi sokongan kepada dia, tolak seorang yang membuat ugutan itu," kata Datok Rais.

Rontini sah menyertai skuad TRW selepas khidmatnya tidak lagi diperlukan Penang FC meskipun merekodkan 15 penampilan Liga Super musim lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram