RENTAK kemenangan Penang FC dalam kejohanan Piala Harapan 2023 nampaknya gagal diteruskan selepas skuad Harimau Kumbang tewas 0-1 di tangan pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi aksi persahabatan yang diadakan di Stadium Bandaraya, George Town pada Sabtu lalu.
Meskipun ia hanyalah aksi pemanas badan sebelum saingan Liga Super bermula, namun perlawanan persahabatan boleh menjadi medan untuk memperbaiki kelemahan dan mencari taktikal yang sesuai.
Keadaan kem latihan Penang FC yang kini hanya bergantung harap kepada penolong jurulatih, Chong Yee Fatt juga dikhabarkan semakin tenat terutamanya selepas dia memberitahu bahawa hampir separuh daripada pemain dan kakitangan kejurulatihan kelab itu kini dilanda virus.
Yee Fatt berkata, selepas kejohanan Piala Harapan berakhir yang menyaksikan Penang FC berjaya merangkul kejuaraan, seramai 18 orang pemain tidak termasuk staf kejurulatihan menghidapi demam dan selesema sehingga ia menganggu sedikit perancangan latihan Harimau Kumbang.
Antara aksi pemain Penang FC sewaktu perlawanan persahabatan berjumpa skuad Jang pada Sabtu. — Facebook/PenangFC
"Sebelum ini kita ada perlawanan persahabatan. Kita mula awal perlawanan dalam pertengahan bulan Disember sebelum Piala Harapan. Keputusan Piala Harapan okey.
"Lepas Piala Harapan kita ada latihan dan selepas itu setiap hari ada kes. Kita dilanda masalah. Kita ada virus. Virus selesema dan demam. Pemain dan coaching staff virus ni dah lama kena lepas Piala Harapan. Pemain dalam 18 orang kena.
"Kesan tu memang ada tapi saya pun tak pasti macam mana serius perkara ini. Saya pun tidak dapat pastikan bila ia berhenti sebab semalam (Ahad) pun ada kes baharu," katanya kepada Majoriti.
Bekas pengendali Perak FC itu kini hanya mampu berharap agar semua pemain dapat kembali seperti sedia kala untuk menghadapi perlawanan pertama Liga Super menentang skuad Kuala Lumpur City FC pada 25 Februari ini.
Tambahnya, dengan kehilangan ketua jurulatih Manzoor Azwira yang kini dalam proses mengambil lesen Pro AFC juga memberikan kesan kepada kem latihan Penang FC.
Yee Fatt berharap agar semua pemain kembali sihat seperti sedia kala sebelum Liga Super bermula. — Facebook/PenangFC
Yee Fatt bagaimanapun berkata, modul yang ditinggalkan oleh pengendali berusia 46 tahun itu sepanjang ketiadaanya masih diikuti oleh barisan pemain meskipun dilanda isu sebegitu rupa.
"Kami ambik tindakan semua dengan doktor yang ada. Coach Manzoor dah setkan program dan kami pun ikut tapi virus ini tak boleh elak. Saya harap mereka sihat fizikal dan mental.
"Kebanyakan mereka yang kena dalam kalangan kesebelasan utama dan pemain simpanan. Semasa lawan Negeri Sembilan ada yang baru sihat, ada yang simptom baru nak ada. Jadi saya harap ia sembuh dalam minggu ini sekurang-kurangnya sebahagian daripada mereka," tambahnya.
Sementara itu, saat ditanya mengenai perlawanan pusingan pertama bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC bagi saingan Piala FA 2023, Yee Fatt memilih untuk tidak mengulas lanjut kerana tarikh pertembungan tersebut masih tidak diketahui. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,