KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) sedang membangunkan satu saluran televisyen khusus untuk kandungan sukan tempatan secara percuma yang dijangka mula bersiaran awal suku kedua tahun ini.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, walaupun ketika ini RTM menyediakan kandungan sukan melalui Sukan RTM di RTM Klik serta TV1 dan TV2, pembukaan saluran televisyen tersebut bertujuan memberi lebih peluang kepada rakyat untuk mencapai kandungan khusus sukan tempatan seperti Liga Bola Sepak Malaysia.
"Sekarang kita fokus kepada sukan tempatan. Bagi kementerian, ini adalah satu cara yang boleh kita lakukan untuk beri sokongan kepada atlet kita dan peminat sukan dengan saluran khusus.
"Kita sudah mempunyai RTM Sukan, saluran dalam talian yang semua orang boleh tonton. Tetapi saya ingin melihatnya dalam terestrial," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina bagi Parlimen Lembah Pantai di Taman Seri Sentosa, di Kuala Lumpur pada Ahad.
Namun, Fahmi berkata pihaknya masih meneliti implikasi kewangan dalam menentukan sama ada saluran itu akan bersiaran 24 jam sehari.
"Ia bergantung kepada beberapa pertimbangan yang perlu kita perincikan. Sudah tentu, kami ada isu kandungan, dan kos, jadi kami perlu menimbang beberapa pilihan,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram