Penyokong Perak buat 'u-turn', dulu maki tapi kini puji YCL


  • Podium
  • Jumaat, 10 Feb 2023

Yusri dilantik sebagai ketua jurulatih Perak II pada September 2022. — Facebook/PerakFC

KETIKA semua pasukan Liga Super sedang sibuk melakukan siri perlawanan pramusim, skuad Liga Simpanan juga tidak terkecuali melakukan perkara yang sama sebagai persediaan untuk menghadapi musim baharu.

Antara pasukan Liga Simpanan yang masih melakukan aksi persahabatan ialah Perak FC II dan harus diakui perlawanan pramusim itu merupakan platform terbaik untuk pemain khususnya bawah 23 tahun (B23) mencari keserasian.

Perak FC II yang kini dilatih di bawah kendalian Yusri Che Lah (YCL) nampaknya meraih tumpuan penyokong kerana kecermerlangan mereka sepanjang siri perlawanan persahabatan.

Sepanjang enam perlawanan persahabatan yang dilaksanakan, skaud B-23 tahun Perak itu merekodkan empat kemenangan, satu seri dan kekalahan pertama dihadapi mereka sewaktu menentang Johor Darul Takzim (JDT) II pada Khamis.

perak fc player

Antara aksi pemain Perak FC II sewaktu perlawanan persahabatan menentang JDT II. — Facebook/PerakFC

Perak FC II tewas 3-4 di tangan JDT II namun rata-rata penyokong memuji persembahan yang diberikan para pemain sehingga ada yang membandingkannya dengan skuad utama.

Bukan itu sahaja, ramai penyokong juga sudah mulai memberi pujian kepada pengendali Perak FC II, Yusri dan para pemain meskipun dahulu mereka mendapat kecaman yang hebat kerana meletakkan skuad Seladang di kedudukan tercorot bagi saingan Liga Perdana 2022.

Malah, ada juga penyokong yang mendesak pengendali berusia 46 tahun itu untuk mengundurkan diri dari melatih Perak FC II dan mencadangkan agar Yusri hanya menjadi penolong jurulatih.

"Dulu YCL kene maki bagai sebab asyik kalah saja. Sekarang dah dekat dua tahun dia pegang budak-budak itu. Sekarang dia dah jadi head coach (ketua jurulatih) skuad Perak 2. Ramai pula memekak cakap Perak 2 lagi bagus, menang besar, lebih 30 jaringan dah dalam perlawanan persahabatan..

"Padahal kebanyakan pemain dan jurulatih yang kome (kamu semua) maki itu dulu dalam Perak 2. Dia bentuk budak Perak 2 itu dari tahun lepas. Hakimi, Afif Asyraf, Khairul Ashraf, Kamal Arif, Alif Zikri.. ramai lagi. Jadi kalau tengok komen dalam gambar itu.. ade saja muka orang yang komen bukan-bukan sekarang ni," kata laman penyokong, Info Bolasepak Perak.

Untuk rekod, Yusri dilantik sebagai ketua jurulatih Perak II bermula September 2022 selepas Datuk Lim Teong Kim menjadi pengendali rasmi skuad utama Seladang bagi musim 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram