Lagi ramai pemain belia dipanggil perkuat Harimau Muda, amaran buat bintang Perak FC bukti kemampuan sebenar


  • Podium
  • Isnin, 13 Feb 2023

Skuad Perak FC II lebih menyerlah setakat ini berbanding skuad utama yang turut dibarisi ramai ubi muda. — Facebook/PerakFC

PANGGILAN kebangsaan membabitkan pemain bawah 23 tahun (B-23) menyaksikan seramai 25 pemain membabitkan 19 muka baharu disenaraikan bagi menjalani latihan sempena Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Daripada senarai itu, seramai empat pemain Perak FC terpilih menyertai kem latihan pusat bersama skuad kebangsaan B23.

Mereka ialah Muhammad Hakimi Mat Isa, 22, Muhammad Farris Izdiham Awang Kechik, 22, Muhammad Firdaus Ahmad Fuad, 22 dan Kamal Arif Azrai Shakimar, 21 tahun.

Hanya Farris Izdiham yang bermain dengan skuad utama Perak FC di bawah kendalian ketua jurulatih, Lim Teong Kim manakala tiga yang lain berada dalam Perak FC II yang dikendalikan Yusri Che Lah.

329253656_5933082010118796_8031674749121621285_n

Pencapaian pemain skuad junior Sang Seladang nyata memberikan kegembiraan kepada para penyokong yang sudah lama tidak melihat pemain Perak FC mewakili pasukan kebangsaan.

Ada yang berpendapat, jejak langkah pemain belia itu perlu dicontohi pemain-pemain muda lain yang beraksi di dalam skuad utama.

Ini kerana ada sebahagian daripada pemain skuad senior yang ditandatangani musim ini jauh lebih muda daripada empat pemain yang terpilih ke skuad Harimau Muda bimbingan, E Elavarasan.

Tentunya perkara itu wajar dilihat dari sudut positif supaya pemain muda di skuad senior yang bersaing di divisyen liga lebih tinggi dapat menggandakan usaha bagi menonjolkan kemampuan sebenar.

Sejak pengurusan baharu mengambil alih Perak FC, kelab itu agresif membawa masuk ubi muda ke skuad The Bos Gaurus yang ditandatangani dari skuad belia Projek FAM-MSN.

Selain Farris Izdiham, mereka ialah Felix Adriano, 20 dan Amirul Akmal, 21.

Perak FC juga turut merekrut dua produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) iaitu Harith Naem Jaineh dan Ilham Aqil yang masing-masing berumur 22 dan 20 tahun.

1803292

Perak merekrut pemain muda dari skuad Projek FAM-MSN untuk saingan Liga M musim ini. — Facebook

Di samping itu, pemain muda lain yang membarisi skuad Perak FC ialah Oswyn Lim dan Shivan Pillay dari Petaling Jaya City FC masing-masing berusia 19 dan 22 tahun.

Tidak ketinggalan, Fahmi Daniel, 22 dan Ikhwan Hafizo, 21, yang ditandatangani dari Selangor FC.

Ini tidak termasuk pemain Perak FC sedia ada yang disambung kontrak mereka iaitu Aiman Yusni, 21 dan penjaga gol muda, Syazwan Syazany, 22.

Jika dikira-kira terdapat lebih 10 pemain berusia bawah 23 tahun yang berada dalam skuad senior The Bos Gaurus.

Justeru, pemain lain yang tidak berjaya mendapat panggilan kebangsaan perlu melihat perkara tersebut sebagai satu persaingan sihat untuk menambah baik prestasi permainan.

Ia juga boleh dianggap 'amaran' untuk bintang-bintang muda Perak FC itu membuktikan kemampuan sebenar lebih-lebih lagi mereka mendapat sentuhan bekas jurulatih skuad remaja Bayern Munich yakni Teong Kim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram