JENDELA perpindahan Liga Malaysia menyaksikan Sabah FC memperkuatkan lagi skuad mereka dengan membawa masuk beberapa pemain baharu.
Tindakan itu dibuat sebagai balasan buat ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee yang berjaya menempatkan skuad Sang Badak di kedudukan ketiga Liga Super 2022.
Pencapaian itu menyaksikan pasukan Borneo itu bakal bermain buat pertama kali di pentas Asia selepas kali terakhir layak pada 1995.
Jadi, penyokong pastinya tertunggu-tunggu untuk menyaksikan hasil daripada pelaburan itu apabila mereka berharap kejayaan musim ini dapat diulangi.
Bagaimanapun, melihat kepada kualiti pemain yang diperkenalkan untuk musim 2023, skuad Sang Badak mempunyai peluang cerah sekiranya kesemua daripada mereka dapat diturunkan dengan kerap.
Oleh itu, bagi menilai kemampuan skuad sedia ada, beberapa aksi perlawanan sudah direncanakan sebelum tirai Liga Super dibuka pada 24 Februari.
Selepas tewas di tangan kelab Denmark, Odense Boldklub, Sabah FC bakal berdepan Geylang International FC pada Sabtu di Stadium Likas, Sabah selepas mereka baru sahaja menamatkan aksi Piala Harapan 2023 di Pulau Pinang.
Pertembungan itu pastinya menjadi satu medan buat rekrut-rekrut jendela perpindahan pasukan untuk membuktikan nilai mereka di posisi masing-masing.
Berdasarkan wajah-wajah baharu skuad Sang Badak, terdapat tiga pemain yang pastinya mengambil peluang itu, sekali gus meletakkan mereka dalam kesebelasan utama.
1. Darren Lok
Selepas menempa nama bersama Petaling Jaya (PJ) City FC musim lepas, Darren Lok memilih untuk menyertai Sabah FC berikutan pembubaran kelab Lembah Klang itu.
Reputasinya sebagai seorang penyudah terbaik Liga Super sudah tidak perlu diperkenalkan apabila dia muncul sebagai penjaring terbanyak tempatan pada 2022.
Namun, sejak dibawa masuk pada awal tempoh perpindahan pemain awal Disember lalu, penyerang berusia 32 tahun itu gagal merobek gawang lawan dalam aksi persahabatan.
Adakah Darren Lok akan menyelesaikan isu serangan Sabah FC? — Facebook/Sabah FC
Tetapi, dengan benteng pertahanan Geylang International FC dilihat rapuh ketika aksi Piala Harapan, Darren mempunyai peluang untuk menjaringkan gol tidak rasmi pertamanya.
Meskipun sumbangannya di hadapan pintu gol itu tidak akan diiktiraf, ia serba sedikit mampu memainkan peranan untuk meningkatkan motivasinya.
Selain itu, ia juga mampu menenangkan hati penyokong yang pastinya sudah lama merindukan kehadiran seorang peledak berbisa dalam skuad Sang Badak.
Persoalannya, dengan anak-anak buah Kim Swee memerlukan masa rehat sebelum perlawanan pertama Liga Super, adakah Darren akan diturunkan ketika menentang kelab Singapura itu?
2. Daniel Ting
Selepas beraksi dengan cemerlang bersama Kuala Lumpur (KL) City FC, pertahanan kelahiran England, Daniel Ting memilih untuk berkelana ke Johor Darul Takzim (JDT).
Bagaimanapun, langkah berkenaan dilihat tidak membuahkan sebarang hasil yang diharapkan apabila dia hanya ditempatkan dalam skuad simpanan Harimau Selatan.
Oleh itu, bagi meningkatkan semula keyakinannya di atas padang, Daniel Ting memilih untuk berhijrah ke Sabah FC dengan status pinjaman.
Daniel Ting hadir untuk memperkukuhkan lagi benteng pertahanan Sang Badak. — Facebook/Sabah FC
Kehadirannya pasti membawa skuad Sang Badak ke dimensi baharu dari segi taktikal dan pendekatan di atas padang apabila dia boleh beraksi sebagai pertahanan tengah dan sayap.
Tambahan pula, pengalamannya beraksi bersama KL City dan beberapa kelab Liga Super pasti akan membantunya menyesuaikan diri dengan cepat bersama skuad Sang Badak.
Oleh itu, perlawanan antara Sabah FC dan Geylang International FC pasti akan memberikannya peluang untuk menyinar serta mencipta gandingan bersama rakan-rakan baharu.
Namun, dengan Sabah FC turut membawa masuk beberapa pemain pertahanan lain, pastinya tanda tanya timbul mengenai peluang Daniel Ting diturunkan dalam pertembungan tersebut.
3. Telmo Castanheira
Pemain tengah berketinggian 1.85m, Telmo Castanheira mencipta sejarah tersendiri dalam bola sepak tempatan apabila menjadi import pertama kelahiran Portugal beraksi di Liga Malaysia.
Meskipun kerap beraksi bersama kelab-kelab divisyen dua sekitar Eropah, tubuh badannya yang sasa sudah cukup untuk memberikan Sabah FC kepercayaan untuk mendapatkannya.
Di samping itu, lambakan pilihan di poisi tengah, termasuk Baddrol Bakhtiar dan Stuart Wilkin pastinya akan memadam kegusaran Kim Swee untuk memilih barisan pemain terbaiknya.
Castanheira masih tidak mempamerkan aksi terbaiknya bersama Sabah FC. — Facebook/Sabah FC
Namun, setiap kali diturunkan dalam aksi persahabatan, Castanheira masih gagal untuk menyerlahkan bakatnya ketika Sabah FC masih mencari kesebelasan terbaik mereka.
Jadi, perlawanan pemanas badan bersama Geylang International mampu memberikan pemain berusia 30 tahun itu untuk mendapatkan semula rentak terbaiknya.
Selain itu, barisan kejurulatihan Sang Badak juga pastinya tidak sabar-sabar untuk mencari solusi terbaik buat pemain bertubuh sasa tersebut sebelum Liga Super bermula hujung bulan ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram