'Lebih baik cerita pasal Nasi Itik,' penyokong Penang dah mula 'cemuih'


  • Podium
  • Ahad, 21 Ogos 2022

Penyokong Penang kelihatan sudah redha dengan prestasi pasukan. — Facebook/ Penang FC

PRESTASI skuad The Black Panthers pada pusingan kedua liga tidak menunjukkan sebarang peningkatan yang baik apatah lagi rombakan barisan kejurulatihan dengan melantik Datuk Zainal Abidin Hassan masih belum memberikan impak positif.

Di bawah kendalian Zainal, Penang hanya mencatatkan dua kemenangan, satu seri dan tujuh kekalahan dalam 10 perlawanan terakhir di Liga Super dan Piala FA.

Baru-baru ini Penang tidak berjaya mengulangi kejayaan di suku akhir Piala FA dengan menewaskan skuad Tok Gajah apabila mereka tewas tipis di halaman sendiri dengan jaringan 2-3 pada Khamis (18 Ogos) kepada lawan yang sama.

Walaupun jaringan lewat Lucas Silva pada minit ke-85 seolah-olah memberikan harapan buat The Black Panthers untuk menyamakan kedudukan tetapi malangnya masa mencemburui mereka dan wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan.

300003006_487064686579670_2776400576578042815_n

Penang FC tewas tipis di halaman sendiri dengan jaringan 2-3 kepada Sri Pahang. Facebook/ Penang FC

Kekalahan tersebut mengekalkan Penang di tangga tercorot liga dan ini merupakan rekod kekalahan yang kelima berturut-turut buat pasukan negeri Pulau Mutiara itu.

Disebabkan keputusan itu, rata-rata penyokong Penang kelihatan sudah redha dengan prestasi pasukan dan ada juga yang mahu 'admin' Facebook rasmi Penang Football Club menjual nasi kandar sahaja.

"Admin dah boleh cari cerita lain, Penang FC ini dah boleh ramal keputusan untuk perlawanan mendatang, lebih baik cerita Durian Duri Hitam Balik Pulau ke, Nasi Kandar Kg Melayu ataupun Pasembur Brown Garden," luah Mohd Nizar.

"Admin tak perlu dah cerita pasal bola sepak, lebih baik buat cerita pasal Nasi Itik Sungai Ara, sedap juga bunyi dia," ujar Cik Fit.

"Tolong kunci siap-siap Lucas Silva dan Rafael Vitor, import yang lain itu dah boleh ganti, tempat Rontini itu pergi cari balik Ryuji Utomo atau pertahanan yang lagi keras nak bergandingan dengan Rafael dan Khairul Akmal ," kata Suhairi As'ari.

"Tahniah Penang, teruskan rentak juara anda," tulis Shahril Md Badruddin.

299185711_487069976579141_9128483153490486287_n

Jaringan lewat Lucas Silva pada minit ke-85 seolah-olah memberikan harapan buat The Black Panthers untuk menyamakan kedudukan. Facebook/ Penang FC

Sebelum ini pihak pengurusan Penang FC mengumumkan sudah melakukan rombakan terkini keahlian jawatankuasa pemilihan pemain Liga Super dan Liga Simpanan bagi musim hadapan.

Pengumuman tersebut menghadirkan rasa ketidakpuasan hati penyokong Penang tentang kedudukan Zainal sebagai ketua jurulatih musim hadapan dengan prestasi yang tidak konsisten. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram