KEHADIRAN pemain import baharu Kelantan FC, Christian Rontini memberi satu suntikan berbeza buat penyokong selepas membuktikan kemampuannya bersama Penang FC pada 2022.
Malah, menerusi satu hantaran Facebook The Red Warrior (TRW) baru-baru ini, dia dilihat tidak menunggu lama untuk turun bersama rakan sepasukan dalam sesi latihan.
Perkara itu pastinya membakar semangat buat orang ramai dengan mereka sangat memerlukan sentuhan istimewa daripada seorang pemain tengah.
Namun, di sebalik kegembiraan yang dirasai itu, moral Rontini untuk menyarung jersi kelab Pantai Timur itu sepertinya terpadam selepas dia diberikan ugutan bunuh daripada seorang penyokong.
Menerusi satu perkongsian pemain berdarah kacukan Itali-Filipina itu, penyokong yang menggunakan akaun Instagram Perkhidmatan Menghantar Motosikal itu memberi ancaman sekiranya dia tidak beraksi dengan baik.
Ugutan bunuh yang diberikan Rontini mengundang perhatian banyak pihak.
"Anda perlu tahu bahawa sekiranya anda tidak bermain dengan baik bersama Kelantan FC, anda akan mati," tulis ugutan itu.
Perkara itu pastinya memberi tekanan buat Rontini yang baru sahaja menapak di kelab Pantai Timur tersebut selepas kontraknya tidak disambung Penang FC.
Mengulas perkara itu, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman akui dia kecewa dengan kelakuan berkenaan dan sudah membuat laporan rasmi.
"Sepatutnya sebagai fans yang bijaksana haruslah menyambut baik kehadiran pemain baharu, lebih-lebih lagi Mr Rontini adalah pemain import yang harus ditujukkan budaya Malaysia yang peramah dan baik.
"Sekali lagi, saya kecewa dengan kenyataan ugutan fans ini dan sudah meminta team pengurusan buat satu laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia," kata Norizam menerusi satu hantaran di Facebooknya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram