Hilangnya ubi muda 3 gergasi Liga Super bersama skuad B-23 undang tanda tanya


  • Podium
  • Sabtu, 11 Feb 2023

Skuad B-23 gagal menampilkan aksi cemerlang selepas pulang dari Sukan Sea Hanoi 2021 tanpa sebarang pingat. — Facebook/FAM

SERAMAI 25 pemain dipanggil oleh ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, E Elavarasan bagi menyertai kem latihan pusat mulai 14 Februari sebagai persiapan menjelang Sukan SEA 2023 di Kemboja yang dijadualkan berlangsung mulai 29 April hingga 15 Mei 2023.

Daripada 25 pemain tersebut, Elavarasan memanggil seramai 19 wajah baharu bagi menjalani kem latihan pusat selama enam hari sebagai perancangan untuk menguji kemampuan mereka,

Pendekatan mengambil muka baharu itu diambil memandangkan peraturan pertandingan bola sepak Sukan SEA 2023 Cambodia menggunakan format umur iaitu bawah 22 tahun sahaja dibenarkan bermain termasuk dua kuota pemain lebih umur dalam kejohanan Sukan SEA tahun ini.

Menarik perhatian pada senarai tersebut ialah pemain berdarah Scotland, Fergus Tierney yang kini bersama Johor Darul Takzim (JDT) II dan adik kepada tonggak tengah Harimau Selatan, Syamer Kutty iaitu Haziq Kutty berjaya memikat hati Elavarasan kali ini.

b233

Senarai 25 nama pemain yang dipanggil ke kem latihan skuad kebangsaan B-23.

Meskipun mempamerkan ramai pemain baharu namun tidak dinafikan masih ada rungutan daripada penyokong bola sepak yang mencari-cari nama ubi muda dari tiga kelab gergasi tanah air.

Antara nama pemain yang diharapkan berada dalam senarai tersebut ialah ubi muda dari JDT seperti Arif Aiman, Adam Farhan, Daryl Sham; Azam Azmi Murad, Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC) serta dua tonggak dari Selangor FC iaitu Mukhairi Ajmal dan Ruventhiran Vengadesan.

"Adam Farhan mungkin tidak dilepaskan kerana dia dah main pasukan utama di JDT," komen penyokong, Yusuf Aziz.

"Adam Farhan, Aysar Hadi, Daryl Sham tidak dapat call up. Common lah," kata seorang lagi penyokong, Amar Amai.

"Kalau nak ikut bawah umur 23 tahun. Ramai lagi pemain popula tiada. Arif Aiman, Mukhairi, Luqman Hakim, Rahadiazli, Azam Azmi, Ruventhiran. Ini semua pemain dah ada caps bersama skuad senior. Mungkin mereka bagi pada pemain yang belum ada caps dengan pasukan senior," kata penyokong, Azman Adnan.

Dalam pada itu, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada kenyataan itu menjelaskan bahawa senarai nama pemain tersebut dibuat untuk dengan memberikan peluang dan laluan kepada pemain-pemain lain untuk diuji Elavarasan.

Tambah FAM, barisan tonggak Sukan SEA edisi lalu akan dipanggil pada kem latihan pusat bulan hadapan.

Skuad B-23 kebangsaan akan menjalani latihan harian di sepanjang kem latihan pusat kali ini di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya dengan 25 pemain yang dipanggil itu akan melapor diri pada Selasa ini.

Malah, para pemain skuad B-23 juga akan mengadakan satu perlawanan persahabatan tertutup pada kem latihan pusat kali ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram