Orang kuat TRW terima hidayah, ucap dua kalimah syahadah depan Norizam


  • Podium
  • Rabu, 08 Feb 2023

Corpas (kiri) mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Norizam pada Rabu. — Facebook/TRW Kelantan FC

PEMBANTU jurulatih Kelantan FC, Pol Corpas sah memeluk agama Islam menerusi satu hantaran daripada pemilik kelab, Norizam Tukiman di laman Facebook peribadinya pada Rabu.

Jelas Norizam, ucapan syahadah jurulatih berusia 26 tahun itu disaksikan beberapa staf kejurulatihan skuad The Red Warrior (TRW), termasuk bekas pengendali, Rezal Zambery Yahya.

"Alhamdulillah, Pol Corpas iaitu assistant coach Kelantan FC mulai hari ini adalah saudara Muslim kita. Saya syahadahkan beliau pagi tadi bersaksikan Coach Rizal, Coach Azli, Coach Qus dan Coach Bob," katanya.

Selain memegang jawatan tersebut, Corpas turut diberi kepercayaan untuk menjadi juruanalisis video Kelantan FC selepas dibawa masuk pada 2020.

Sepanjang berada bersama kelab Pantai Timur itu, jurulatih kelahiran Barcelona, Sepanyol itu dilihat memberi pelbagai input berkesan buat kelab, termasuk membantu mereka muncul sebagai naib juara Liga Perdana 2022.

Dalam masa sama, Norizam turut memberitahu bahawa Corpas bakal menerima baharu bagi menunjukkan bahawa dia sudah bersedia untuk kembali ke fitrah.

"Tiada paksaan kepada sesiapa sahaja untuk kembali kepada fitrah. Benarlah, Hidayah itu milik ALLAH. Nama baru Pol Corpas ialah Pol Abubakar Corpas Cuatrecasa, mulai esok saya nak panggil dia Abu Bakar," tulisnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram