MESKIPUN menghadapi ejekan kejam daripada penyokong Leeds United, Marcus Rashford dan Jadon Sancho membalas cemuhan itu dengan bergaya.
Kedua-dua pemain menjaringkan gol pada separuh masa kedua, sekali gus berjaya membantu Manchester United mengikat Leeds dengan keputusan seri 2-2 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Rabu
“Anda mengecewakan negara anda," demikian chant yang dilaungkan oleh penyokong Leeds di Old Trafford, merujuk kepada situasi kedua-dua penyerang United itu terlepas sepakan penalti dalam kekalahan penentuan sepakan akhir Euro 2020 England kepada Itali.
Tetapi pada penghujung permainan, Rashford menjaringkan gol ke-20 musim ini bersama United sementara jaringan Sancho pula menandakan bahawa dia sudah kembali ke pasukan utama.
Sumbangan Sancho amat bermakna terutamanya selepas pemain berusia 22 tahun itu diberi cuti awal musim ini dalam usaha untuk memulihkan semula prestasinya.
“Saya sangat gembira dia (Sancho) berada di trek yang betul, saya harap dia dapat mengekalkan momentumnya dan saya pasti ia akan menguatkannya dan lebih memotivasikannya.
"Dia seorang pemain bola sepak yang cemerlang dan jika dia boleh melabur dalam tahap yang betul dia boleh menjadi cemerlang," kata pengurus United, Erik ten Hag.
Kedua-dua bintang muda England itu telah mengambil masa untuk kembali ke landasan sebenar selepas kegagalan penalti di final Euro yang mana menyaksikan mereka menjadi mangsa ejekan perkauman selepas itu.
Selain dua pemain United itu, pemain Arsenal, Bukayo Saka juga terlepas sepakan penalti dan menjadi mangsa ejekan perkauman.
Rashford, bagaimanapun sedang menjadi yang terbaik dalam kariernya musim ini, manakala Saka adalah bahagian penting untuk membantu Arsenal mengejar kejuaraan trofi EPL.
Manakala Sancho pula bergelut untuk konsisten sejak menyertai United dari Borussia Dortmund pada musim panas 2021.
Perkara itu menyebabkan Ten Hag memberinya rehat sehingga dia masuk sebagai pemain gantian menentang Nottingham Forest minggu lalu dalam penampilan pertamanya sejak Oktober.
United yang dilihat seperti mengalami kekalahan mengejut ketika menentang Leeds pada Rabu berjaya bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan Rashford dan Sancho.
Leeds yang beraksi tanpa pengurus berikutan pemecatan Jesse Marsch pada Isnin sedang berjuang untuk memperbaiki kedudukan dalam liga dan kesungguhan mereka itu hampir menyebabkan United mengalami kekalahan pertama di tempat sendiri dalam liga sejak hari pembukaan musim ini.
Jaringan Wilfried Gnonto pada awal minit pertama permainan dan gol sendiri dari tonggak pertahanan United, Raphael Varane pada awal separuh masa kedua menyumbang dua jaringan buat Leeds.
Rashford dan Sancho memberi satu mata berharga buat pasukannya tetapi United kekal tujuh mata ketinggalan daripada pendahulu Arsenal.
"Perasaan bercelaru. Sudah tentu pada akhirnya kami gembira untuk memenangi satu mata tetapi kami kehilangan dua mata.
"Ia adalah permulaan yang sangat buruk, tidak boleh diterima, terutamanya dalam perlawanan derbi anda perlu bersedia untuk bertarung dan bertanggungjawab," jelas Ten Hag. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram