Ketahui 3 faedah dinikmati Malaysia, Asia Tenggara atas pemilihan Hamidin sebagai Ahli Majlis FIFA


  • Podium
  • Khamis, 09 Feb 2023

Hamidin dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA selepas satu kongres diadakan awal Februari.

PENGUMUMAN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenai pemilihan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai Ahli Majlis badan induk bola sepak antarabangsa itu sememangnya menarik perhatian ramai.

Hamidin disahkan bakal memegang jawatan tersebut dari 2023 hingga 2027 selepas satu kongres khas anjuran AFC yang diadakan pada 1 Februari di Bahrain.

Pemilihan itu menyaksikan beliau sebagai individu ketiga dari Malaysia yang dipilih mewakili negara dan konfederasi di peringkat benua dalam persatuan tersebut.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini menjadi wakil pertama dalam Majlis FIFA susulan kemenangan baginda pada Kongres 2015, manakala Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden FIFA dari 1982 hingga 1990.

Detik bersejarah itu pastinya membawa satu nafas baharu buat landskap bola sepak tempatan yang sudah lama berharap sukan tersebut akan terus berada di hadapan.

Namun, persoalannya, apakah signifikan di sebalik pemilihan tersebut dengan orang ramai masih berteka-teki mengenai faedah yang bakal diterima.

Berdasarkan maklumat yang disampaikan di laman sesawang rasmi FIFA, Ahli Majlis memikul tanggungjawab untuk menentukan hala tuju bola sepak setiap kali perjumpaan diadakan.

Jadi, melihat kepada kuasa yang diterima Hamidin dan wakil daripada AFC, ia membuktikan bahawa pemilihan beliau mampu memberi satu dimensi baharu buat negara.

Tidak cukup dengan itu, kehadiran beliau pasti akan membolehkan suara daripada rantau Asia Tenggara dan Asia secara keseluruhannya dapat didengari dengan lebih jelas.

Jadi, berikut merupakan tiga kelebihan yang boleh diterima berikutan pemilihan Hamidin sebagai salah seorang Ahli Majlis FIFA buat penggal ini.

1. Penggunaan teknologi VAR lebih meluas

Ketika ini, sebahagian besar liga ternama serata dunia sudah memilih untuk menggunakan teknologi video bantuan pengadil (VAR).

Selain memudahkan pengadil untuk membuat keputusan, ia juga menutup jurang daripada berlakunya kesilapan sehingga boleh menimbulkan kontroversi dan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong.

Bukan itu sahaja, penggunaan VAR dalam bola sepak hari ini dapat memastikan reputasi pihak pengadilan dan FIFA tidak terjejas selepas setiap kali hari perlawanan.

Namun, melihat kepada situasi di liga-liga utama sekitar Asia Tenggara, teknologi berkenaan masih belum digunakan dengan lebih meluas.

VAR

Teknologi VAR amat diperlukan dalam arena bola sepak hari ini. Agensi

Jadi, dengan Hamidin mempunyai peluang untuk menyuarakan perkara tersebut, ia membuka ruang kepada badan induk antarabangsa itu bagi mengambil tindakan selanjutnya.

Isu berkenaan sebelum ini sudah menghantui penyokong bola sepak apabila mutu pengadilan sepanjang kempen Piala AFF 2022 terus dipersoalkan.

Tambahan pula, Hamidin sebelum ini pernah menyatakan bahawa VAR akan digunakan dalam kancah Liga Super dengan pengumuman rasmi bakal dibuat FAM pada 2023.

Keputusan tersebut juga dipersetujui bekas Presiden FAM, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim yang mahu melihat teknologi tersebut digunapakai.

2. Piala AFF dalam kalendar FIFA

Ketika berlangsungnya kempen Piala AFF 2022, beberapa kelab sekitar Asia Tenggara enggan melepaskan pemain mereka untuk menyarung jersi masing-masing.

Antara alasan yang digunakan pihak pengurusan adalah dengan menyatakan bahawa kejohanan itu tidak diletakkan di bawah Kalendar FIFA.

Ia sekali gus menyatakan pendirian bahawa penglibatan negara dalam Piala AFF tidak akan memberi kesan terhadap kedudukan pasukan dalam ranking FIFA.

Namun, bagi Presiden FIFA, Gianni Infantino, kemeriahan yang dirasai selepas perlawanan akhir antara Thailand dan Vietnam memberi isyarat bahawa perubahan perlu dilakukan.

PIALA-FIFA

Infantino (dua dari kanan) menyatakan minatnya terhadap Piala AFF. Agensi

Dia difahamkan mengeluarkan hasrat bahawa kejohanan itu perlu dibuat selari dengan kalendar, sekali gus meningkatkan lagi semangat dalam kalangan penonton bola sepak di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, bagi Hamidin, cita-cita itu sukar untuk direalisasikan dalam edisi akan datang dengan pelbagai urusan masih perlu diselesaikan.

Tetapi, perlu juga diingatkan bahawa penganjuran dwi-tahunan Piala AFF membolehkan impian itu direalisasikan untuk merancakkan lagi sambutannya.

Selain itu, berdasarkan laporan yang dikeluarkan, Hamidin akan terlibat bersama Ahli Majlis FIFA selama empat tahun, yang mana memberikannya ruang untuk melakukan perubahan.

3. Mengatasi isu luar padang bola sepak Asia Tenggara

Tidak boleh dinafikan bahawa masih terdapat pelbagai isu yang timbul dalam landskap bola sepak tempatan dan Asia Tenggara meskipun terdapat usaha untuk menghapuskannya.

Di peringkat domestik, isu pertelingkahan antara penyokong masih berlaku, yang mana pastinya akan terus menggugat reputasi dan kehadiran penyokong.

Selain itu, masalah masih berlaku dalam kalangan kelab yang bertegas untuk tidak melakukan perubahan terhadap kemudahan dan fasiliti masing-masing.

gaduh1-1-e1660136102202

Pergaduhan antara penyokong masih berlaku di Asia Tenggara. Media sosial

Isu tersebut pastinya bukan sahaja berlaku di dalam negara apabila beberapa laporan turut menunjukkan bahawa negara-negara di Asia Tenggara masih berdepan masalah itu.

Jadi, kehadiran Hamidin serta seorang lagi wakil dari Filipina, Mariano Araneta pastinya terbuka untuk menyelesaikan hal tersebut daripada terus menular.

Antara pendekatan yang pasti diambil adalah memastikan terdapat perbincangan lebih kerap diadakan bersama FIFA untuk mengelak isu-isu berkenaan berulang.

Di samping itu, Hamidin juga berpeluang untuk mengadakan sesi pendedahan untuk meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan pemimpin persatuan masing-masing.

Persoalannya, mampukah penyokong mengubah mentaliti tersendiri sekali pun pelbagai perubahan drastik sudah diambil di peringkat pengurusan? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram