PEMBUKAAN kempen Liga Super 2022 bakal menyaksikan pertembungan antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC dengan kedua-dua pasukan merebut Piala Sumbangsih.
Aksi yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 24 Februari itu pastinya dinanti-nantikan penyokong bola sepak tanah air.
Keunggulan yang dipamerkan skuad Sang Penyu musim lepas membolehkan mereka layak ke Piala AFC selepas menduduki tangga kedua Liga Super.
Namun, di sebalik pencapaian itu, pelbagai persoalan mula timbul apabila konflik dalaman menyaksikan ketua jurulatih, Nafuzi Zain meninggalkan pasukan Pantai Timur itu.
Bagi mengisi kekosongan tersebut, bekas Penasihat Teknikal, Tomislav Steinbruckner dilantik apabila dia memiliki pengalaman membimbing kelab kerdil Liga Malaysia, T-Team pada 2015.
Keputusan tersebut turut menyaksikan Terengganu FC membuat rombakan besar-besaran bagi memastikan falsafah serta taktikal pengendali itu dapat diterapkan.
Antara pemain baharu yang dibawa masuk ialah penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn selepas rekodnya dilihat cukup cemerlang sepanjang kariernya.
Tetapi, berdasarkan pengamatan dalam aksi persahabatan, pemain tinggi lampai itu dilihat masih belum berjaya membentuk satu keserasian bersama rakan sepasukan.
Skuad Sang Penyu masih belum mendapatkan resipi terbaik selepas aksi persahabatan. — Facebook/Terengganu FC
Hal tersebut pastinya menimbulkan kegusaran dalam kalangan penyokong Terengganu FC yang berharap mereka mampu menamatkan kemarau kejuaraan dalam pertembungan Piala Sumbangsih itu.
Bagaimanapun, bagi Adisak, keyakinan skuad Sang Penyu semakin berkobar-kobar selepas mengadakan sesi latihan pramusim secara berpusat.
"Ya, ini merupakan perlawanan pertama kita lawan JDT dan mereka adalah pasukan yang baik di Malaysia.
"Kami telah melakukan persiapan lebih sebulan sekarang dan semuanya sedang bekerja keras untuk beraksi sebaiknya," katanya dalam satu sesi temu bual bersama MFL.
Sebelum ini, pemain berusia 32 tahun tersebut menghabiskan musim 2022 secara pinjaman di Port FC selepas khidmatnya kurang ditagih majikan sebenar, Muangthong United.
Namun, ketika mewakili skuad Gajah Perang dalam kempen Piala AFF, Adisak berjaya membuktikan sentuhannya masih tidak pudar selepas menjaringkan dua gol sepanjang kejohanan.
Dalam masa sama, dia turut mengakui bahawa penyerang kelahiran Brazil, Diogo Luis Santo merupakan ancaman besar buat skuad Sang Penyu dalam pertembungan itu.
"Saya juga mengenali Diogo, dia pernah beraksi di Thailand dan ada juga saya tengok pemain-pemain lain beraksi, terutamanya di skuad kebangsaan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram