Chant istimewa fans Ratchaburi FC, kembali bakar semangat Safawi Rasid yang pernah pudar


  • Podium
  • Rabu, 08 Feb 2023

Kehadiran Safawi diterima baik penyokong skuad Sang Nafa. — Facebook/Ratchaburi FC

SEJAK berhijrah ke kelab Thailand, Ratchaburi FC secara pinjaman awal Januari lalu, penyerang sayap kebangsaan, Safawi Rasid semakin mendapatkan semula rentaknya.

Dia yang sebelum ini terlalu kerap diletakkan di bangku simpanan Johor Darul Takzim (JDT) memilih untuk berhijrah demi kelangsungan kariernya.

Keputusan itu jelas membuahkan hasil apabila nama bekas pemain T-Team itu mula disebut-sebut penyokong skuad Sang Naga meskipun baru sahaja turun dalam beberapa perlawanan.

Larian, hantaran dan kesungguhan yang dipamerkan setiap kali diturunkan sudah cukup untuk menjulang namanya sebagai salah satu import terbaik pasukan.

Malah, ketika dia mengalami kecederaan ketika berdepan Lamphun Warrior, laman media sosial Ratchaburi dibanjiri ucapan menyentuh hati daripada penyokong.

Tambahan pula, berita bahawa dia tidak dapat diturunkan buat sekurang-kurangnya dua perlawanan juga menyebabkan rata-rata penyokong resah akan kehilangannya.

Namun, kegelisahan itu tidak berlanjutan selepas Safawi beraksi sebagai pemain pinjaman selama 16 minit ketika pasukannya mencatatkan kemenangan ke atas Nongbua FC.

Kehadirannya itu disambut baik penyokong Ratchaburi yang cukup berpuas hati dengan persembahannya apabila majoriti daripada mereka menyanyikan lagu khas buatnya selepas wisel pemanat ditiupkan.

1730646

Safawi kerap diletakkan di bangku simpanan bersama JDT musim lalu. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Hal itu serba sedikit menunjukkan Safawi akan mendapatkan rentak terbaiknya di atas padang dengan keyakinan dan semangat berkobar-kobar mula dipamerkan.

Ia turut dirasai penyokong bola sepak tanah air yang berharap penghijrahannya itu bakal menjadi titik permulaan untuk kembali ke prestasi sebenar.

"Bermain di kelab terbaik disia-siakan sahaja bakatnya, tetapi apabila pergi tempat yang hargai usaha kita, sekarang kembali bersinar," kata Mohd Aidil.

"Tahniah Safawi, semoga ini menjadi antara titik mula untuk memperbaiki prestasi serta menaikkan keyakinan kepada kelab-kelab luar kepada pemain tempatan," kata Guru Betta.

"Terbaik Ratchaburi kerana memanfaatkan bakat dan kemampuan teknikalnya yang sesuai kerana pemain bukan semuanya sama sahaja," kata Matt Kotako.

Musim lepas, lambakan pemain sayap di JDT menyaksikan Safawi kerap disisihkan daripada kesebelasan utama dengan dia hanya diturunkan dalam 26 perlawanan.

Minit permainan yang berkurangan itu seolah-olah menyebabkannya hilang sentuhan terbaik, seperti mana dapat disaksikan ketika dia menyarung jersi kebangsaan dalam aksi Piala AFF. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram