Diumum berhijrah ke Liga Iceland, but kesayangan Luqman Hakim lebih curi tumpuan


  • Podium
  • Selasa, 07 Feb 2023

Luqman Hakim sah menyertai kelab Liga Iceland, Njardvik FC secara pinjaman dari kelab Belgium, KV Kortrijk.

PENYERANG muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin sah menyertai kelab divisyen dua Liga Iceland, Njardvik FC secara pinjaman dari kelab Belgium, KV Kortrijk.

Berita baik itu diumumkan sendiri oleh laman rasmi Twitter kelab berkenaan pada Selasa yang menyatakan bahawa pemain berusia 20 tahun itu akan beraksi selama semusim sehingga saingan 2023 tamat.

"Berasal dari Malaysia, Luqman adalah pemain penyerang yang mempunyai dua penampilan untuk pasukan kebangsaan Malaysia, serta penampilan junior yang tidak terkira banyaknya.

"Luqman yang berusia 20 tahun turut berada dalam senarai The Guardian daripada 60 pemain paling berpotensi di dunia pada 2019.

"Luqman dibeli KV Kortrijk dan telah membuat dua penampilan untuk kelab itu dalam Liga Perdana Belgium. Selain itu, dia pernah bermain untuk pasukan bawah 21 tahun dan pasukan simpanan kelab," kata kenyataan itu pada Selasa.

Cuma apa yang menarik dalam video perkongsian kelab tersebut, but bola sepak yang digunakan Luqman turut mencuri perhatian kerana keadaannya yang buruk dan lusuh.

WhatsApp Image 2023-02-07 at 12.52.18

Keadaan but Luqman Hakim.

Disebabkan itu, ada segelintir penyokong berpendapat bahawa but tersebut berkemungkinan adalah kegemaran Luqman, oleh itu dia masih menggunakannya sehingga kini.

"But kesayangan dia ke itu? Sampai tidak mahu tukar?" kata penyokong, Do Emon.

"Man (Luqman) kasut dah nak hancur itu," komen seorang lagi penyokong, Faizul Azreen.

"Sedih tengok but," kata penyokong, Quantamania Antman sewaktu melihat keadaan kasut Luqman dalam video perkongsian Njardvik.

Penghijrahan Luqman ke negara yang terletak di Lautan Atlantik Utara itu sememangnya menggembirakan penyokong bola sepak tanah air kerana rata-ratanya bersetuju ia akan memberi minit permainan lebih banyak kepada penyerang muda kebangsaan itu.

Sejak menyertai KV Kortrijk pada 2021, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu hanya mengumpul sebanyak sembilan minit masa permainan dan hanya beraksi dalam tiga perlawanan.

Pemain dari Kota Bharu itu sebelum ini mencipta sensasi apabila menandatangani kontrak profesional bersama Kortrijk pada 2020 sekali gus menjadi pemain Malaysia pertama bermain di Belgium. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram