Bekas peledak Cardiff City antara 2 bintang tumpuan aksi pramusim TFC-Odense BK


  • Podium
  • Selasa, 07 Feb 2023

Kelab Odense BK berada dalam kelompok lima terbaik carta Liga Denmark. — Facebook/Odense BK

KELAB Odense Boldklub FC (Odense BK) yang berada dalam lima kelompok terbaik divisyen tertinggi Liga Denmark bakal menjadi ujian sebenar buat skuad Terengganu FC (TFC) dalam siri aksi persahabatan pramusim di Thailand dari 8 hingga 13 Februari ini.

Di samping itu, pemain skuad Sang Penyu juga bakal membuat perhitungan dengan tiga kelab dari negara Gajah Perang iaitu Rajpracha FC, Bangkok FC dan Chonburi FC.

Jelajah pramusim itu penting buat barisan kejurulatihan mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pasukan sebelum mengharungi aksi Liga Malaysia (Liga M) terutama aksi pertama berdepan Johor DaruI Takzim (JDT) bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 Februari depan.

pra-musim thailand terengganu fc

Selain Odense BK, TFC bakal bertemu dengan tiga kelab di Liga Thailand.

Empat aksi pemanas badan itu juga penting buat pengendali skuad itu, Tomislav Steinbrukner untuk menilai secara keseluruhan prestasi pasukannya yang hampir dilengkapkan menerusi kemasukan beberapa muka baharu.

Kelab Odense BK bukan calang-calang kerana pasukan tersebut menduduki tangga lima terbaik carta Liga Denmark malah kehebatan pasukan tersebut terbukti selepas mengalahkan Sabah FC 1-0 dalam program pramusim kelab Borneo itu.

Skuad kendalian jurulatih kelahiran Sweden, Gert Andreas Alm itu mencipta kemenangan menerusi jaringan Gustav Grubbe.

Pemain muda berusia 20 tahun yang bermain di posisi bek kanan boleh menghadirkan ancaman berbahaya kepada benteng pertahanan TFC jika tidak diawasi.

photo1675701970

Kenneth (tengah) antara tiga pemain Odense BK yang perlu diawasi oleh TFC. — Odense BK

Seorang lagi bintang Odense BK yang perlu diberi perhatian ialah Kenneth Zohore. Bekas penyerang Cardiff City dan West Brom itu amat digeruni di bahagian serangan.

Dengan rekod lima gol daripada 10 penampilan sepanjang musim lepas, Kenneth boleh menjadi membuktikan reputasi hebat yang dimiliki olehnya sekiranya tidak dirantai dengan rapi oleh benteng pertahanan TFC.

Selain Kenneth, seorang lagi pemain yang cukup berbahaya ialah pemain sayap Odense BK, Emmanuel Sabbi. Baru berusia 25 tahun, penyerang itu juga boleh menghasilkan serangan.

Malah ketika menentang Sabah, Emmanuel memberikan bantuan gol untuk membolehkan kelab Odense BK memenangi perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram