[VIDEO] Import baharu Kelantan FC 'kantoi', bakal isi kekosongan Kenta Hara


  • Podium
  • Isnin, 06 Feb 2023

Prestasi terumbang-ambing Kenta Hara menyaksikan khidmatnya tidak dikekalkan untuk 2023. — Facebook/TRW Kelantan FC

NAIB juara Liga Perdana 2022, Kelantan FC dilihat sedang sibuk melakukan persiapan terakhir sebelum penutupan jendela perpindahan pada penghujung Februari ini.

Selepas dikatakan enggan untuk melakukan perbelanjaan besar-besaran, pemilik kelab, Norizam Tukiman pantas menjawab kecaman yang dilontarkan terhadapnya.

Ia dapat disaksikan apabila skuad The Red Warriors (TRW) tidak henti-henti memperkenalkan rekrut baharu bagi meningkatkan kualiti skuad sedia ada.

Selain pemain tempatan, beberapa wajah-wajah import turut dibawa masuk dengan kualiti yang dimiliki mereka mampu membawa Kelantan FC ke tahap berbeza.

Penyerang kelahiran Gambia, Nuha Marong merupakan antara pemain yang ditandatangani dengan kemampuannya semakin terserlah dalam aksi persahabatan.

Tidak cukup dengan itu, dua pemain berasal dari Korea Selatan, Kang Eui-chan serta Kim Ming-yu juga diperkenalkan sebagai suntikan baharu buat pasukan Pantai Timur itu.

Setakat ini, pasukan kendalian Choi Moon-sik itu sudah dibarisi kira-kira enam import, sekali gus membuka ruang kepada tiga lagi pemain untuk dibawa masuk berdasarkan kuota Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Melihat kepada status daripada Norizam, mereka seakan-akan tidak akan melakukan pelaburan lanjut dengan skuad yang dimiliki ketika ini sudah lengkap.

Bagaimanapun, berdasarkan khabar angin yang bertebaran di media sosial, seorang lagi import bakal diperkenalkan sebelum tirai Liga Super 2023 dibuka.

FoNvmrqagAI4EIK

Michibuchi mula dikaitkan dengan perpindahan ke Kelantan FC. Agensi

Pemain kelahiran Jepun, Ryohei Michibuchi dikatakan sudah menandatangani kontrak bersama Kelantan FC selepas dilepaskan kelab terdahulunya, FK Radnicki Nis.

Berita tersebut mula tersebar apabila dia didapati mengekori rapat perkembangan TRW, termasuk mengikuti akaun jurulatih kecergasan, Park Hyo-jun menggunakan Instagram peribadinya.

Selain boleh diturunkan sebagai penyerang sayap kanan, Michibuchi juga difahamkan selesa untuk beraksi sebagai pemain tengah.

Di samping itu, pihak pengurusan TRW juga pastinya tertarik dengan pengalaman yang dikumpul sepanjang kariernya apabila pernah berkelana ke beberapa negara, termasuk Korea Selatan dan Serbia.

Ura-ura tersebut dilihat relevan dengan situasi pasukan ketika ini yang masih mencari seorang pemain sayap yang mampu mencipta peluang buat jentera serangan.

Bagi penyokong pula, mereka juga sepertinya cukup berpuas hati sekiranya Michibuchi sah menyertai Kelantan FC dengan saingan Liga Super 2023 dijangka lebih mencabar.

"Kalau dilihat pada profilnya, boleh dikatakan sebagai sesuatu yang dahsyat. Pada 2021, dia bermain di Liga Korea dan tahun lepas pula, dia main di Serbia," kata Anaq Rantau.

"Mungkin OK kot, walaupun dia tiada kelab, boleh dikatakan dia main hampir 47 perlawanan dari 2021 hingga 2022. Mungkin kelab lama sudah ada pengganti lebih baik," kata M Azrip M Arip.

Sebelum ini, Kelantan FC turut menggunakan khidmat pemain berasal dari Jepun, termasuk penyerang sayap, Kenta Hara yang berkhidmat buat TRW pada 2022.

Namun, selepas bergelut dengan isu kecederaan dan konsistensi setiap kali diturunkan, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk melepaskannya pada awal jendela perpindahan lalu.

Tetapi, berdasarkan statistik yang dicatatkan Michibuchi sepanjang kariernya, terdapat sinar harapan bahawa dia mampu membawa perbezaan terhadap jentera serangan Kelantan FC musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram