PENYERANG kebangsaan Filipina, Jose Porteria sah menyertai pendatang baharu Liga Super, Kelantan United FC bagi menguatkan lagi jentera serangan pasukan.
Selain mampu menggalas tanggungjawab sebagai seorang penyerang tunggal, ketinggiannya yang mencecah 1.7m dikatakan ideal jika diturunkan sebagai pemain sayap.
Ketua Pegawai Operasi Kelantan United, Wan Mohd Zul Ikman berkata, kehadiran Porteria sekali gus melengkapkan kuota pemain Asean seperti mana ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
"Porteria ialah import keempat kami musim ini, tiga yang lain ialah Ernist Batyrknov (Krygyzstan), Yan Victor (Brazil) dan Morgaro Gomis (Senegal)," katanya pada Ahad.
Meskipun dia dilahirkan di Amerika Syarikat, Porteria memilih untuk mewakili Filipina selepas dia berhijrah pada 2012 sebelum beraksi bersama skuad Bawah 22 (B-22) dan B-23 pasukan kebangsaan itu.
Tambahnya, keputusan untuk membawa masuk graduan DC United itu adalah berdasarkan pengalamannya di Liga Filipina dan Thailand, Piala AFC dan Liga Juara-juara AFC (ACL).
"Dia sudah menjaringkan lebih daripada 40 gol dan mencipta 22 bantuan jaringan serta masih merupakan pilihan utama pasukan negaranya sejak 2012.
"Pengalaman dan kemampuannya tidak boleh dipandang rendah, tetapi masih perlu mencipta keserasian bersama rakan sepasukan," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram