'Astro kembali, Klopp pun ada', 3 sebab Liga Super 2023 pasti lebih rancak


  • Podium
  • Ahad, 05 Feb 2023

Rombakan demi rombakan dilaksanakan MFL untuk memastikan Liga Super menjadi lebih menarik musim 2023.

PERUBAHAN struktur dan format yang dilaksanakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyaksikan sebilangan penyokong kurang senang akan perkara itu.

Meskipun terdapat pertambahan jumlah perlawanan daripada 22 kepada 26 sepanjang musim, rombakan itu menyaksikan beberapa kelab menarik diri.

Antaranya, Petaling Jaya (PJ) City FC dan UiTM FC yang mana kedua-dua mereka berjaya mewarnai arena bola sepak tempatan walaupun bergantung pada perbelanjaan kecil.

Selain itu, rombakan berkenaan turut menyebabkan Liga Perdana sebagai divisyen bawahan dimansuhkan bagi memberi laluan buat liga simpanan yang disertai skuad Bawah 23 (B-23).

Pendekatan tersebut menarik perhatian pelbagai pihak, termasuk ketua jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim yang memberi pandangan akan isu itu baru-baru ini.

Jadi, kegusaran itu dilihat akan memberi kesan terhadap tarikan penonton ke stadium dalam setiap perlawanan sehingga menjejaskan pendapatan pasukan yang bertanding.

Namun, di sebalik perubahan besar-besaran itu, seorang penyokong bola sepak tempatan, Safwan Ozil berpendapat terdapat tiga sebab bahawa Liga Super 2023 akan menjadi lebih menarik.

Perkara itu disuarakan menerusi satu hantaran di laman Facebook peribadinya yang dirasakan berpandangan jauh dalam mengenal pasti hala tuju sukan itu di peringkat kebangsaan.

1. Ramai jurulatih yang berkualiti

Sejak awak jendela perpindahan lagi, hampir kesemua pasukan dilihat tidak henti-henti melakukan rombakan terhadap barisan kejurulatihan.

Pendekatan tersebut dibuat dengan ada daripada mereka yang berasakan pengendali sebelum ini kurang memberi impak seperti mana diharapkan.

Jadi, ia pastinya satu tarikan yang cukup besar apabila Liga Super bakal dibintangi jurulatih yang berpengalaman serta mempunyai kemampuan untuk melakukan kejutan.

Antara perkara yang menarik perhatian ialah keputusan Johor Darul Takzim (JDT) yang melantik bekas pembantu jurulatih Argentina B-23, Esteban Solari.

Kemampuannya ketika ini semakin menyerlah apabila skuad Harimau Selatan mencatatkan beberapa siri kemenangan ketika aksi persahabatan pramusim.

326974587_491024259858381_5760545193091733232_n

Kehadiran Solari (kanan) dijangka akan merancakkan lagi suasana Liga Super 2023. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Selain itu, Liga Super 2023 turut dimeriahkan dengan kehadiran dua pengendali sensasi, iaitu Datuk Lim Teong Kim bersama Perak FC sementara Fandi Ahmad bakal mengendalikan Sri Pahang FC.

Nama Teong Kim pastinya cukup serasi dengan peminat tegar bola sepak tempatan apabila dia pernah berkhidmat sebagai pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Bagi Fandi pula, kejayaan ketika dilantik sebagai ketua jurulatih JDT dan Lions XII sudah cukup untuk meletakkannya dalam kalangan memori manis penyokong tanah air.

Naib juara Liga Perdana 2022, Kelantan FC turut mengamalkan pendekatan menarik apabila pemilik pasukan, Norizam Tukiman memilih untuk menggunakan khidmat pengendali dari Korea Selatan, Choi Moon-sik, sementara bekas jurulatih Penang FC, Tomas Trucha yang memiliki paras mirip pengendali Liverpool, Jurgen Klopp juga kembali mengendalikan Kelantan United.

Sementara itu, bagi Kedah Darul Aman (KDA) FC pula, mereka meletakkan kepercayaan di bahu bekas ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain untuk membimbing pasukan itu.

Hal tersebut pastinya cukup menarik, apatah lagi apabila Nafuzi sendiri cukup serasi apabila pernah menyarung jersi kelab Utara tanah air itu untuk beberapa tahun.

2. Penyiaran rasmi baharu

Musim lepas, MFL memilih untuk memberi hak penyiaran Liga Super kepada syarikat telekomunikasi tempatan, Unifi untuk menyajikan orang ramai dengan aksi terbaik.

Perkara itu boleh dikatakan sebagai satu kejayaan apabila orang ramai mudah untuk mendapatkan akses kepada siaran langsung menerusi beberapa peranti, termasuk telefon bimbit dan televisyen.

Bagaimanapun, sejak awal Januari lalu, terdapat beberapa khabar angin yang mengatakan perbadanan bola sepak itu akan memilih syarikat lain untuk kerja-kerja penyiaran.

Teka-teki itu akhirnya terjawab apabila MFL pada Rabu mengumumkan satu kolaborasi sudah dipersetujui antara mereka dengan Astro dan RTM selama tiga tahun.

Statement-Astro-RTM-e1675239444332

Astro dan RTM sah menjadi penyiar rasmi Liga Super 2023. MFL

Perkhabaran itu pastinya melunturkan semangat buat peminat setia Liga Super setelah keputusan itu menyebabkan mereka sukar untuk menonton aksi secara langsung dengan percuma.

Bagaimanapun, jika dilihat dari sudut yang menyeluruh, kerjasama itu akan memberi satu keuntungan lebih besar buat kelab-kelab Liga Malaysia.

Ia sekali gus membolehkan mereka untuk melakukan pelaburan jangka masa panjang di samping memberi keyakinan bahawa isu kewangan tidak akan berlaku.

Selain itu, kualiti yang dijanjikan kedua-dua syarikat penyiaran itu adalah lebih berkualiti apabila mereka mempunyai pengalaman luas dalam bidang tersebut.

3. Kuota import

Sebelum ini, kuota import yang dibenarkan MFL adalah sebanyak lima orang dengan pendirian bahawa pemain tempatan wajar diberikan peluang untuk beraksi.

Namun, dengan pertambahan perlawanan untuk musim 2023, ia pastinya menyukarkan pemain untuk kekal cergas, sekali gus memaksa pihak MFL untuk meningkatkan kuota itu.

Berdasarkan laporan, kesemua pasukan berpeluang untuk membawa masuk seramai sembilan pemain luar negara untuk meningkatkan kemampuan skuad masing-masing.

Antara kelab yang jelas mengambil peluang keemasan itu ialah KDA FC yang ketika ini dibanjiri sehingga tujuh pemain import, seperti Willian Lira dan Alan Robertson.

328625388_1364720347677385_7785205389927729765_n

Skuad Sang Kenari dibarisi pemain import untuk musim akan datang. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Kuala Lumpur (KL) City FC dan Sri Pahang FC juga dilihat mengambil pendekatan yang sama apabila mereka sibuk dengan aktiviti perpindahan sepanjang jendela kali ini.

Walaupun masih terdapat segelintir pihak yang kurang senang akan perkara itu, keputusan untuk memberikan minit-minit permainan pasti terletak di bahu barisan kejurulatihan.

Sebagai contoh, Terengganu FC pada 2022 turut dibarisi hampir lima pemain import dalam setiap perlawanan dengan kualiti mereka cukup didambakan.

Tetapi, kepintaran Nafuzi untuk melakukan percaturan menyaksikan tiada perasaan kurang senang dalam kalangan pemain untuk diturunkan dengan lebih kerap. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram